mutakhir

'Tak nak pergi, nanti kena cabul'

Oleh Hadzlihady Hassan

PERBUATAN guru agama yang mencabul murid lelaki di sekolah di Sungai Ara, Georgetown, terbongkar selepas seorang daripada mangsa menceritakan kejadian terbabit kepada guru mereka.

Difahamkan, ketika itu guru agama berkenaan dipilih untuk membawa murid yang terbabit dalam satu program sukan ke sekolah lain.

Menurut sumber, mendengarkan nama guru berkenaan dipilih, seorang daripada murid itu mula bimbang dan memberitahu guru lain mengatakan dia enggan menyertai acara sukan berkenaan kerana risau dicabul.

“Pengakuan murid itu mengejutkan dan selepas itu baru terbongkar kisah sebenar yang murid berkenaan dan beberapa lagi mangsa dicabul guru terbabit.

“Ada daripada mereka memberitahu guru terbabit melakukan seks oral dalam surau serta kelas ketika waktu rehat dan selepas tamat sesi persekolahan,” katanya.

Difahamkan, ada antara mangsa adalah murid pintar dan guru berkenaan juga turut memilih mangsa yang pendiam supaya perbuatannya itu dapat dirahsiakan.

Selepas perbuatan itu terbongkar, waris kepada murid yang menjadi mangsa bersepakat untuk membuat laporan polis.

Ada antara guru serta waris tidak mempercayai perbuatan dilakukan guru agama terbabit kerana lelaki berusia 40 tahun itu memang seorang yang berperwatakan lembut dan warak.

Isnin lalu, guru berkenaan ditahan polis selepas enam aduan diterima daripada murid tahun empat dan lima yang menjadi mangsa cabul lelaki berkenaan.

Berikutan itu, suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Disiarkan pada: July 25, 2018 @ 8:39pm
d