mutakhir

Rampas kad konsesi MyRapid jika salah guna [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LETAK pelekat dan tukar gambar pada kad. Itu antara taktik licik segelintir individu yang dikesan menyalahgunakan kad konsesi MyRapid bagi menikmati diskaun 50 peratus tambang.

Dalam operasi dijalankan Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Muzium Negara, Kuala Lumpur bermula jam 5 petang hari ini, pelbagai alasan diberikan individu apabila dikesan menggunakan kad konsesi milik orang lain.

Antara alasan paling banyak diberikan ialah mahu mendapatkan diskaun 50 peratus tambang.

Seorang wanita warga Vietnam berusia 20-an yang ditahan apabila menggunakan kad konsesi milik rakannya memberi alasan menggunakannya selepas diberi oleh rakan lelakinya.

“Dia bagi saya pinjam, jadi saya pakailah,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Prasarana Masnizam Hisham berkata, sebanyak 1,318 unit kad konsesi dirampas dalam siri operasi dari 15 November 2017 hingga 14 Julai lalu.

“Kami mengeluarkan lebih 230,000 kad konsesi dan sebahagian daripada jumlah itu didaftarkan atas nama pelajar.

“Daripada jumlah itu, kami merampas 1,015 kad milik pelajar dan disenarai hitam, selain 271 milik warga emas dan 32 kad didaftarkan kepada orang kurang upaya (OKU) yang disalah guna individu lain,” katanya pada sidang media, hari ini.

Masnizam berkata, pihaknya menanggung kerugian ribuan ringgit setiap hari akibat tindakan individu tidak bertanggungjawab menggunakan kelebihan kad konsesi milik orang lain.

“Dianggarkan kami rugi ribuan ringgit setiap hari kerana pihak lain yang menggunakan kad berkenaan walaupun kemudahan itu disediakan bukan untuk kegunaan mereka.

“Kos berkenaan boleh digunakan bagi menampung operasi kami. Disebabkan itu, kami mengambil tindakan merampas kad konsesi berkenaan dan menyenarai hitam pemilik kad itu.

“Pada masa sama, kami juga sudah membuat laporan polis berhubung penyalahgunaan kad ini,” katanya.

Katanya, mereka yang melakukan kesalahan boleh didakwa mengikut Seksyen 206 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Disiarkan pada: July 25, 2018 @ 9:22pm
d