mutakhir

Penggera amaran untuk GRO [METROTV]

Oleh €™Farah Suhaidah Othm

PELAYAN pelanggan (GRO) di sebuah pusat karaoke empat tingkat di Taman Canning, Ipoh, sanggup berpanas lebih satu jam dalam tiga lorong rahsia bagi menyembunyikan diri daripada ditahan pihak berkuasa.

Ia dikesan ketika serbuan membabitkan sembilan pegawai dan 24 anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Kontinjen Perak.

Dalam serbuan selama lima jam bermula 1 pagi itu, seramai 42 wanita dipercayai GRO warga asing dari China dan Vietnam ditahan.

Ketua Penolong Pengarah JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, pihaknya menjalankan risikan selama dua minggu selepas menerima maklumat berhubung kegiatan berkenaan.

Katanya, ketika serbuan, dua lelaki dipercayai penjaga pintu premis berkenaan bertindak menghidupkan alat penggera bagi memberi isyarat kepada pelanggan dan GRO mengenai kedatangan pihak berkuasa.

"Sebaik alat penggera dibunyikan, semua GRO berkenaan mempunyai tempoh masa lima minit bagi menyembunyikan diri dalam tiga lorong rahsia yang dipercayai dibina khas.

"Ketika serbuan, tiada wanita ditemui. Namun selepas pemeriksaan, kita kesan tiga lorong rahsia termasuk satu daripada lorong rahsia itu dikawal oleh alat kawalan jauh yang dipercayai dijadikan tempat persembunyian GRO berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Nadzri berkata, polis mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit untuk mengesan dan memecah tiga lorong rahsia yang berkeluasan kira-kira satu meter persegi itu.

"Semua GRO berkenaan didalangi oleh seorang wanita warga China yang dipercayai ‘ibu ayam’ berusia 36 tahun dan mengenakan bayaran RM85 satu jam kepada pelanggan.

"Ketika serbuan, terdapat seramai 89 pelanggan termasuk sembilan wanita berusia antara 25 hingga 55 tahun, dan kita turut menemui dua paket lut sinar dipercayai dadah jenis methamphetamine serta dua rokok dipercayai mengandungi dadah jenis ganja," katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk siasatan lanjut termasuk menjalani saringan air kencing.

Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 6 (1)(c) ; Seksyen 39(b) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Difahamkan, kewujudan premis berkenaan menjadi tular berdasarkan status menerusi laman sosial yang mendedahkan premis berkenaan dijadikan sarang aktiviti maksiat dan dadah serta lokasi ahli kongsi gelap.

Premis berkenaan juga dipercayai sering beroperasi melebihi waktu ditetapkan iaitu bermula pada jam 9 malam hingga 8 pagi.

Disiarkan pada: July 26, 2018 @ 10:30am
d