mutakhir

Tahan dua tokan, lima penagih

Oleh Nur Syazwana Mansor

Sik: Dua tokan dadah dan lima penagih ditahan dalam dua serbuan berasingan dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah/Jihad Dadah di sini, semalam.

Dalam operasi bermula jam 12 tengah malam hingga 2 petang itu, polis turut menahan lima penagih dan merampas heroin seberat 219.28 gram serta tiga gram syabu dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM5,782.

Selain itu, sebuah motosikal milik tokan dadah terbabit turut disita.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu tertumpu di sekitar daerah ini yang menjadi tumpuan penagih dadah.

Menurutnya, seorang pengedar dadah berusia 47 tahun ditahan di Kubang Kesom di sini, manakala heroin seberat 200 gram bersama syabu seberat tiga gram turut dirampas.

Sementara seorang lagi pengedar dadah ditahan di Jeniang bersama 18 gram heroin.

“Kami turut merampas motosikal milik suspek disyaki dibeli hasil jualan dadah untuk siasatan lanjut mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

“Dua lelaki terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Abdull Razak berkata, lima lagi lelaki berusia 20 hingga 57 tahun ditahan kerana memiliki dan menagih dadah.

Disiarkan pada: July 26, 2018 @ 10:44am
d