mutakhir

Tuntutan palsu RM600,000 [METROTV]

Oleh Mohd Zamil Sulaiman

Kuching: Mahkamah Majistret di sini, semalam, memerintahkan lima individu termasuk dua penolong pengarah kanan agensi kerajaan direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu RM600,000.

Majistret Mohamad Syukri Mokhtar mengarahkan kesemua mereka berusia antara 34 hingga 55 tahun itu direman bermula kelmarin.

Penahanan itu dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 termasuk mengesan 43 syarikat didakwa terbabit dalam tuntutan palsu terkumpul membabitkan nilai RM600,000 yang dibuat sejak dua tahun lalu.

Difahamkan, lima suspek terbabit hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri untuk memberi keterangan sebelum ditahan jam 4.30 petang kelmarin.

Tiga daripada individu terbabit pernah berkhidmat di agensi kerajaan itu, namun kini mereka bertukar ke jabatan lain serta bersara.

SPRM dalam kenyataannya kelmarin, mendedahkan semua individu terbabit mempunyai akses terhadap akaun agensi itu ketika bertugas yang memungkinkan sebarang penyelewengan dilakukan untuk kegunaan peribadi.

Mereka dipercayai bersubahat dengan 43 syarikat di seluruh Sarawak dengan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu untuk membuat tuntutan pembayaran kerja dengan setiap tuntutan bernilai antara RM2,000 hingga RM6,000.

Semua pembayaran dibuat ke beberapa akaun pemilik syarikat pada 2016 dan kelima-lima suspek dipercayai mengambil keuntungan daripada setiap syarikat dipilih mereka.

Siasatan juga mendapati 70 peratus perkhidmatan atau pembekalan dilakukan semua syarikat terbabit tidak wujud atau tidak dilaksanakan dalam tempoh berkenaan.

Disiarkan pada: July 26, 2018 @ 11:10am
d