mutakhir

Solat bergilir

Oleh Nur Syazwana Mansor

Yan: Murid Sekolah Rendah Agama (SRA) Akhlak Al-Islamiah di sini, terpaksa menunaikan solat berjemaah secara bergilir-gilir berikutan surau sedia ada berusia 40 tahun yang sempit dan tidak dapat memuatkan semua dalam satu masa.

Guru Besar Mohd Aizat Zakaria berkata, justeru pihak sekolah bercadang membina sebuah surau baru dengan kos pembinaan bernilai RM1.2 juta yang boleh memuatkan seramai 700 orang dalam satu masa.

Katanya, cadangan itu bagaimanapun belum dapat direalisasikan memandangkan pihaknya masih tidak mempunyai dana mencukupi dan memohon sumbangan orang awam.

Menurutnya, bilangan murid yang semakin bertambah setiap tahun menyebabkan surau asal tidak mampu menampung semua murid dalam satu masa.

Buat masa ini katanya, pihak sekolah terpaksa mengatur jadual waktu solat dan makan supaya murid dapat menunaikan solat jemaah secara bergilir-gilir sebanyak tiga kali setiap kali solat fardu.

“Surau ini mampu menampung seramai 350 orang murid saja dalam satu masa, jadi kami terpaksa pecahkan mereka supaya dapat berjemaah secara bergilir.

“Bagaimanapun, kita berharap orang awam di luar sana dapat menderma kepada pihak sekolah bagi membolehkan kita membina sebuah surah baharu yang lebih selesa untuk murid di sini,” katanya, semalam.

Katanya, surau itu juga akan dibina dengan ruang luar lebih luas bagi membolehkan aktiviti sekolah diadakan di situ.

“Selain surau, pihak sekolah juga memerlukan dana berjumlah RM1.4 juta untuk pembinaan bangunan baharu sejajar dengan peningkatan jumlah murid.

“Permintaan untuk memasuki sekolah ini sangat tinggi. Pada awal sekolah ini dibuka iaitu pada 2014, kita hanya ada 25 murid tapi kini kita sudah ada 530 murid dan jumlah ini dijangka meningkat setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, bangunan sekolah empat tingkat itu kini sedang dalam proses pembinaan, namun agak perlahan memandangkan belum ada dana yang cukup.

“Proses pembinaan bermula sejak 2011 lagi namun akibat kekurangan dana, ia menjadi perlahan dan masih belum siap sehingga kini,” katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi pejabat sekolah itu di talian (pejabat) 04-4619636 atau (Mohd Aizat) 013-4481030.

Disiarkan pada: July 26, 2018 @ 11:13am
d