mutakhir

Tolak tawaran pengajian demi keluarga tersayang

Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin

Kubang Pasu: Satu keluarga di Kampung Pulau Pisang di sini, hilang tempat bergantung apabila bapa yang selama ini menjadi tonggak keluarga terlantar akibat komplikasi pelbagai penyakit sejak setahun lalu.

Darus Othman, 65, yang sebelum ini menyara keluarga dengan berniaga barangan dapur di pasar malam disahkan mengalami kerosakan hempedu yang dibuang pada 2014.

Isterinya, Maznah Abdul, 58, berkata selepas pembedahan itu, kesihatan suaminya semakin merosot dan perut semakin membengkak sehingga tidak mampu bangun lagi.

“Kami kini cuma bergantung kepada pendapatan anak sulung, Irmie Suzie, 34, yang bekerja di kilang berhampiran.

“Tetapi ia masih tidak mencukupi kerana kos penjagaan suami mencecah RM300 sebulan terutama untuk membeli lampin pakai buang dan susu khas,” katanya ketika ditemui ketika menerima kunjungan Penghulu Mukim Tunjang Ahmad Shauki Shaari di rumahnya di Kampung Pulau Pisang di sini, semalam.

Maznah berkata, Irmie Suzie juga seorang ibu tunggal dan terpaksa menanggung tiga anak masih kecil yang tinggal bersama mereka.

Katanya, akibat kesempitan hidup, anak bongsunya berusia 19 tahun terpaksa menolak tawaran melanjutkan pelajaran ke sebuah institusi pengajian tinggi tahun lalu.

“Dia kini bekerja untuk membantu meringankan beban keluarga. Kembar Irmie Suzie, iaitu Irma Suzie pula seorang orang kurang upaya (OKU) fizikal.

“Kami ada menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250, tetapi sudah ditamatkan Jun lalu, mungkin sebab ada anak yang sudah bekerja,” katanya.

Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan membantu keluarga ini, bolehlah menghubungi Maznah di talian 017-4920242.

Disiarkan pada: July 26, 2018 @ 11:20am
d