mutakhir

PERKESO sudah bayarlah!

Oleh Mohd Sabran Md Sani

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) sudah membayar faedah Hilang Upaya Sementara Waktu (HUSW) terhadap suami kepada wanita yang dikatakan cuba terjun dari sebuah jambatan di Batu Pahat, Selasa lalu.

Pengarah PERKESO Johor, Tong Sing Chuang berkata, suami kepada wanita berkenaan yang tidak bekerja akibat kemalangan tujuh bulan lalu menerima bayaran faedah itu pada 28 Ogos tahun lalu.

“PERKESO Johor Bahru ingin memaklumkan bayaran faedah HUSW untuk suami mangsa dibuat tahun lalu iaitu hari pertama permohonan dikemukakan kepada pihak PERKESO.

“Jumlah bilangan hari sijil cuti sakit yang dibayar adalah selama 261 hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika merujuk laporan akhbar ini hari bertajuk 'Fikiran buntu atas jambatan' membabitkan seorang wanita bersama dua anak alami tekanan diselamatkan pengguna jalan raya.

Dalam kejadian itu, tindakan pantas pengguna laluan Jambatan Peserai, Batu Pahat berjaya menggagalkan cubaan wanita bersama dua anaknya daripada terjun ke sungai itu pada jam 1 tengah hari, Selasa lalu.

Wanita terbabit menyatakan mengalami tekanan perasaan disebabkan gagal menghubungi suami, selain dimarahi pengetua sekolah dengan perkataan kurang sopan.

Dia juga mendakwa mengalami masalah kewangan kerana suaminya tidak bekerja akibat kemalangan di tempat kerja tujuh bulan lalu.

Dakwanya, sehingga kini, suaminya belum menerima tuntutan PERKESO selepas mengalami patah tangan akibat terjatuh ketika di tempat kerja.

Mengulas mengenai isu itu, Tong mengesahkan semakan sudah dibuat PERKESO terhadap dakwaan itu, malah nilai bayaran diterima termasuk HUSW dan Hilang Upaya Kekal (HUK), implan berjumlah RM29,966.77.

Katanya, bayaran HUK dilakukan PERKESO pada 3 Jun lalu berjumlah RM13,798, HUSW bernilai RM14,267 dan implan RM1,900.

Beliau berkata, pada 10 Ogos tahun lalu, suami wanita terbabit mendapat bantuan implan 'screw fix of scaphold' yang ditanggung PERKESO.

“Ia susulan kejadian menimpa suami wanita itu pada 8 Ogos tahun lalu ketika membuat kerja pemasangan pendingin hawa dan terjatuh dari tangga hingga mengalami patah tangan kanan.

“Hasil maklumat, mangsa baru sebulan bekerja dengan majikannya itu,” katanya.

Katanya, PERKESO melindungi suami wanita itu di bawah Skim Bencana Pekerjaan walaupun baru mula bekerja tapi dilindungi di bawah skim ini.

Berita berkaitan:

'Saya bukan nak terjun jambatan pun...'[METROTV]

Disiarkan pada: July 26, 2018 @ 12:07pm
d