mutakhir

Temui ajal selepas mengamuk

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

PEMANDU lori disahkan maut selepas mengamuk di sebuah pusat mencuci kereta di Jalan Temuai, Sri Aman, semalam.

Lelaki berusia 32 tahun itu dikatakan datang ke premis berkenaan jam 3.20 petang sebelum mengamuk tanpa diketahui punca.

Melihat kejadian itu, pemilik kedai dan tiga pekerjanya berusia antara 15 hingga 27 tahun cuba menenangkan mangsa.

Namun, mangsa tidak mengendahkan pujukan sebelum mengambil sebatang besi dan cuba merosakkan pikap Toyota Hilux yang diletakkan di premis itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Senior Asisten Komisioner Denis Leong Soon Kuai berkata, melihat mangsa yang bertindak ganas menyebabkan suspek menahannya lalu diikat agar tidak terus bertindak agresif.

Menurutnya, suspek kemudian menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.

“Sepasukan polis yang tiba beberapa minit kemudian menemui mangsa diikat dengan tali dan berada dalam keadaan lemah.

“Pasukan perubatan yang dipanggil untuk pemeriksaan lanjut kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya, hari ini.

Menurutnya, suspek ditahan polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.

Katanya, polis kini menunggu keputusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian mangsa selain mengumpul maklumat awam.

Disiarkan pada: July 26, 2018 @ 2:33pm
d