mutakhir

Ada BeSS, baru 'best' makan nasi kandar...

Oleh Nur Izzati Mohamad

JABATAN Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mengesyorkan semua pemilik restoran khususnya pengusaha nasi kandar di negeri ini memohon mendapatkan Pengiktirafan Premis Outlet Makanan Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS).

Pengiktirafan yang diperkenalkan sejak 2013 itu adalah satu program mendidik peniaga menjaga kebersihan premis mereka terutamanya aspek penyediaan makanan sihat sekali gus menarik pelanggan.

Pengarah kesihatan negeri, Datuk Dr Wan Mansor Hamzah berkata, Pulau Pinang yang dikenali syurga makanan terutamanya terkenal dengan menu nasi kandar dalam kalangan pelancong memerlukan peniaga menitikberatkan perihal kebersihan premis.

"Sejak kebelakangan ini, banyak operasi mendapati premis nasi kandar masih berada pada tahap kebersihan kurang memuaskan.

“Ini sekali gus menyebabkan banyak pelanggan mula hilang keyakinan untuk makan di premis terbabit dan berikutan itu kita minta pemilik dapat memperoleh pengiktirafan BeSS ini supaya menjadikan premis mereka dikunjungi pelanggan tanpa was-was," katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada Majlis Penyampaian Sijil BeSS kepada pengusaha Kantin Sekolah dan Dapur Asrama Sekolah di Perpustakaan Seberang Jaya, Butterworth, semalam.

Difahamkan, terdapat beberapa sahaja restoran nasi kandar di negeri ini memperoleh pengiktirafan BeSS sejak program itu dilaksanakan.

Dr Wan Mansor berkata, program BeSS itu adalah satu usaha daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dengan kerjasama Cawangan Pemakanan, Bahagian Kesihatan Awam.

Menurutnya, pengiktirafan itu diberikan secara percuma kepada premis makanan yang memenuhi empat kriteria utama antaranya mengekalkan premis yang bersih, menyediakan makanan yang selamat dan menyediakan serta mempromosikan pilihan makanan yang lebih sihat.

“Pengiktirafan secara sukarela ini dibuka kepada semua pemilik premis makanan.

“Sehingga kini, sebanyak 443 premis makanan memperoleh BeSS sejak program ini dilaksanakan di negeri ini pada tahun 2015,” katanya.

Disiarkan pada: July 26, 2018 @ 3:01pm
d