mutakhir

Dipenjara kerana Hot Wheels

Oleh Olivia Miwil

LELAKI dipenjara sebulan dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu selepas cuba menjual kereta mainan Hot Wheels yang dicuri, kepada pemilik asal kereta mainan itu, hari ini.

Taliston Buiyinu, 34, mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki harta curi di hadapan Majistret Afiq Agoes.

Afiq turut menetapkan hukuman penjara terhadap tertuduh ditambah tiga bulan jika gagal membayar denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pemilik berusia 29 tahun membuat laporan polis pada 1 Julai lalu bahawa keretanya dipecah masuk dan barang-barang dalam kenderaan itu dicuri.

Pada 19 Julai, pemilik terbabit melihat mainannya dijual menerusi laman web dan membuat temu janji dengan penjual pada hari yang sama.

Tertuduh kemudian ditahan polis di Hospital Queen Elizabeth di sini apabila mangsa mengesahkan kereta mainan itu miliknya.

Peguam tertuduh, Farazwin Haxdy memohon mahkamah meringankan hukuman ke atas Taliston yang juga rakyat tempatan dengan alasan dia telah menerima pengajaran sejak ditangkap dan ia juga kesalahan pertamanya.

"Dia juga sudah berkahwin manakala nilai mainan hanya RM70," katanya.

Afiq bagaimanapun menegaskan bahawa laporan polis menunjukkan nilai enam kereta mainan adalah RM1,000.

Pendakwaan kes dikendalikan Inspektor James Paran.

Disiarkan pada: July 26, 2018 @ 4:07pm
d