mutakhir

Henti provokasi hak orang Melayu, Bumiputera [METROTV]

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) diminta menghentikan sebarang kenyataan provokosi yang mencabar hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam berkata, kenyataan beberapa menteri yang menyentuh isu hak orang Melayu dan Bumiputera boleh menggugat keamanan dan perpaduan negara.

“Beberapa hari lalu, ada menteri menyentuh mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB), apa tujuannya? Adakah mereka hanya ingin menggembirakan sesuatu kaum sahaja?

“Mereka dengan jelas memainkan isu yang boleh menyebabkan orang Melayu dan Bumiputera marah, dan tujuannya adalah untuk memastikan undi masyarakat Cina kekal kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan ke kediaman penduduk di Taman Setia, Johan Setia, Klang, hari ini.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, jika PH berterusan mencabar hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, ia hanya akan mengundang bahaya kepada negara.

Sementara itu, beliau mempertikaikan langkah kerajaan mewujudkan Tabung Harapan Malaysia yang disifatkan sebagai tindakan untuk mengaburi rakyat kerana kegagalan PH menunaikan janji dalam manifesto mereka.

“Saya tidak tahu kenapa perlu diwujudkan tabung berkenaan kerana kerajaan BN sebelum ini meninggalkan negara dalam keadaan ekonomi yang baik dan rizab yang tinggi.

“Tabung Harapan Malaysia hanya sekadar alasan untuk mereka tidak menunaikan janji pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu,” katanya.

Katanya, kewujudan tabung berkenan juga lebih kepada propaganda untuk memperlihatkan ekonomi Malaysia dalam keadaan yang tenat di mata rakyat.

Disiarkan pada: July 26, 2018 @ 5:07pm
d