mutakhir

Bekok jadi Pusat Penyelidikan Durian

Oleh Mohamed Farid Noh

KERAJAAN Negeri Johor akan mewujudkan Pusat Penyelidikan Durian di Bekok, Segamat, bagi membolehkan penanaman pelbagai jenis durian diperluaskan di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, berkata langkah itu bagi membolehkan Bekok dan kawasan sekitarnya termasuk Segamat dan kawasan lain di negeri ini terus mengeluarkan variasi durian bermutu tinggi untuk dinikmati masyarakat, sekali gus menjadi punca pendapatan mereka.

Beliau berkata, kewujudan pusat penyelidikan itu membolehkan Bekok menjadi hab buah-buahan utama negeri ini berikutan kawasan berkenaan dan sekitarnya kaya dengan pelbagai buah terutama durian, pisang, betik, markisah dan nanas.

“Saya bersetuju dengan saranan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Bekok, Dr S Ramakrishnan yang mencadangkan supaya kerajaan negeri menubuhkan Pusat Penyelidikan Durian bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Bekok.

“Apatah lagi durian Bekok dan Segamat mempunyai reputasi tersendiri serta digemari orang tempatan dan masyarakat luar.

“Kami akan memasukkan Fiesta Buah-Buahan di Bekok dalam kalendar pelancongan Johor bagi membolehkan lebih ramai pengunjung serta pelancong datang ke sini bagi menikmati buah-buahan tempatan terutama durian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Fiesta Buah Buahan Bekok 2018, di Pekan Bekok, Segamat, hari ini.

Hadir sama, Ramakrishnan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan Johor.

Osman berkata, kerajaan negeri akan menaik taraf serta meningkatkan kemudahan serta infrastruktur di Bekok bagi membolehkan ia menerima kehadiran lebih ramai pengunjung dengan selesa.

Sementara itu, Ramakrishnan berkata, selain pusat penyelidikan durian, Bekok dicadangkan mewujudkan pusat kesenian Orang Asli bagi membolehkan pengunjung dan pelancong dihiburkan dengan persembahan Orang Asli.

“Terdapat banyak penempatan Orang Asli di sekitar Bekok dan kami perlu mengambil peluang mendedahkan masyarakat luar dengan kesenian Orang Asli yang unik terutama apabila pelancong datang untuk menghadiri Fiesta Buah-Buahan Bekok,” katanya.

Disiarkan pada: July 26, 2018 @ 9:04pm
d