mutakhir

D7 Kedah sudah serbu 141 kali

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SEBANYAK 141 serbuan dijalankan bermula Januari tahun ini sehingga Jun lalu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah ke atas premis perjudian di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, serbuan Op Dadu Khas dijalankan bagi membanteras perjudian itu membabitkan 90 judi dalam talian dan 51 pusat hiburan keluarga (PHK).

Beliau berkata, seramai 341 orang ditahan membabitkan 313 lelaki dan 28 wanita manakala 19 mesin simulator, 105 komputer dan 205 telefon bimbit dirampas bersama wang tunai RM50,930.

“Daripada 141 serbuan itu, 97 daripadanya disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 manakala 44 kes lagi disiasat mengikut Seksyen 11 (3) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Kedah atas kesalahan pelanggaran syarat.

“Bermula 1 April lalu, polis dimaklumkan 150 lesen PHK diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan daripada jumlah itu, 83 premis sudah menjalankan perniagaan manakala 67 lagi belum beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan media di Alor Setar, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, pada masa sama terdapat satu lagi bentuk perjudian baharu iaitu perjudian dalam talian menggunakan telefon bimbit atau tablet pelanggan (top up).

Beliau berkata, kegiatan PHK dan judi telefon bimbit menimbulkan kegusaran masyarakat dan pelbagai aduan diterima sama ada melalui media massa atau laman sesawang.

“Polis sudah mengambil tindakan tegas menerusi operasi dijalankan.

“Di samping siasatan untuk pendakwaan di mahkamah, polis turut mengambil langkah membuat cadangan pembatalan lesen premis menjalankan kegiatan perjudian dan menyalahgunakan lesen dikeluarkan pihak pejabat daerah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, di daerah Kota Setar sahaja sebanyak 24 premis dicadangkan untuk pembatalan lesen manakala di Kuala Muda sebanyak tiga premis dikenal pasti untuk dibatalkan lesen perniagaan.

Katanya, polis turut mengemukakan permohonan pemotongan bekalan elektrik dan air bagi semua premis didapati menjalankan kegiatan perjudian dan bermula Januari hingga Jun lalu, sebanyak 48 permohonan dikemukakan dan 40 daripadanya sudah dilaksanakan.

“Bagi premis disyaki ada menyimpan mesin perjudian, polis sudah memperoleh tiga waran geledah yang disempurnakan membabitkan daerah Langkawi apabila semua mesin itu dirampas dan disita untuk tindakan lanjut.

“Polis polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada lesen PHK dikeluarkan dan operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa sehingga masalah ini diatasi sepenuhnya.

“Orang ramai dialu-alukan menyalurkan maklumat melalui bilik gerakan IPK Kedah di talian 04-7741403/7741405 dan pasukan bertindak di talian 04-7741394 atau WhatsApp 017-5753800,” katanya.

Disiarkan pada: July 26, 2018 @ 9:42pm
d