mutakhir

Pindah ke lokasi baharu

Oleh Avila Geraldine

MANGSA kebakaran di Kampung Cenderamata 2 di Likas dekat Kota Kinabalu, akan dipindahkan ke lokasi baharu tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sudah mencadangkan satu tapak untuk dijadikan penempatan dan penstrukturan bagi penduduk yang terjejas.

“Keutamaan diberi kepada warga Malaysia, dengan disokong dokumen sah. Kita sudah putuskan tidak perlu bina semula rumah di lokasi yang terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa kebakaran di pusat penempatan sementara di Dewan Serbaguna Likas, malam tadi.

Berhubung status penduduk bukan warga Malaysia namun pemegang dokumen IMM13, Mohd Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, berkata perbincangan lanjut akan dijalankan oleh pihak berkuasa.

Ini berikutan aduan dibangkitkan sesetengah pihak bahawa ada mangsa kebakaran yang juga pemegang IMM13, tidak menerima sebarang bantuan.

Beliau juga berkata, beberapa mangsa kebakaran itu yang kini berada di Dewan Serbaguna Likas, akan dipindahkan ke Dewan Kampung Cenderakasih untuk mengurangkan kesesakan.

Selasa lalu, hampir 800 penduduk hilang tempat tinggal selepas kira-kira 150 rumah papan di Kampung Cenderamata 2 musnah akibat kebakaran.

Dalam kejadian bermula jam 2 petang itu, api dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak dengan cepat berikutan kedudukan rumah terlalu rapat.

Disiarkan pada: July 27, 2018 @ 8:54am
d