mutakhir

Pegawai kanan 'kantoi' rasuah [METROTV]

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PEGAWAI kanan di agensi kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis ketika sedang menerima rasuah bagi memudahkan urusan pembaharuan dua lesen bot vessel, di Kangar, semalam.

Pengarah SPRM Perlis, Mohd Shukor Mahmud berkata, suspek ditahan jam 1.50 tengah hari di sebuah restoran di Kampung Sungai Bahru.

“Menurut laporan pengadu, suspek dipercayai meminta rasuah dari seorang nelayan berjumlah RM4,000 bertujuan memudahkan urusan pembaharuan dua lesen bot vessel.

“Nelayan terbabit sudah melakukan transaksi pertama dengan memasukkan wang berjumlah RM2,000 pada 12 Jun lalu, dan bakinya dibayar secara tunai semalam di sebuah restoran di Kampung Sungai Bahru,” katanya.

Mohd Shukor berkatam, suspek adalah pegawai yang bertanggungjawab mengesahkan permohonan dan pembaharuan lesen di tempatnya bekerja.

“Suspek dipercayai berjanji dengan nelayan terbabit akan mempercepatkan kelulusan pembaharuan lesen bot tanpa melalui sebarang prosedur, dengan syarat membayar upah.

“Nelayan terbabit bersetuju dan dipercayai pembayaran akan dilakukan secara berasingan memandangkan dia ingin memperbaharui dua lesen bagi dua buah bot vessel yang berasingan,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 1 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Disiarkan pada: July 27, 2018 @ 3:02pm
d