mutakhir

Bebas tuduhan memperdagangkan 27 wanita

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

PEMILIK agensi pembantu rumah menarik nafas lega selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskannya daripada tuduhan memperdagangkan 27 wanita warga Indonesia dan Kemboja bagi tujuan ekploitasi, dua tahun lalu.

Hakim Madihah Harullah memutuskan demikian terhadap Caryn Lim Bak Hiang, 60, selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-27, wanita itu didakwa memperdagangkan 11 wanita warga Kemboja dan 16 wanita warga Indonesia masing-masing berusia antara 21 tahun dan 45 tahun bagi tujuan eksploitasi yang menyalahi undang-undang.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di No 64-1 Jalan Awan Jawa, Taman Yarl, Jalan Klang Lama di sini, pada jam 6.15 petang, 27 Oktober 2016.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaan Raya, Najwa Bistamam manakala tertuduh diwakili peguam O Varghese.

Sepanjang perbicaraan kes yang bermula pada Januari 2017, pihak pendakwaan memanggil 23 saksi manakala pembelaan memanggil empat saksi untuk memberi keterangan.

Disiarkan pada: July 27, 2018 @ 3:08pm
d