mutakhir

Rezeki 'main' Lego

Oleh Mary Victoria Dass

MENERIMA tawaran bekerja sebagai pereka model Lego, sembilan tahun lalu, antara keputusan bijak Siti Fatimah Ibrahim, 35, berikutan kerja yang dilakukannya mencabar dan menggembirakan orang ramai.

Kini, Siti Fatimah bangga dan bersyukur apabila hasil kerjanya dipamerkan di seluruh dunia, malah ilmu dimilikinya dikongsi bersama kenalan serta masyarakat setempat.

Menurutnya, antara pencapaiannya yang tidak ternilai adalah menghasilkan kira-kira 500 model Lego dalam tempoh sembilan tahun.

"Saya antara enam individu perintis yang dihantar ke Legoland California selama lebih dua bulan untuk menjalani latihan lanjut pada 2009.

"Sebenarnya ketika memohon pekerjaan ini, saya tidak tahu apa skop kerja, namun apabila sudah masuk dan berjaya mengharungi ujian yang dikehendaki, saya semakin seronok.

"Tambahan pula saya memang suka buat kerja pasang-pasang benda ini dan bertambah seronok serta bangga apabila hasil kerja kita ditonton orang ramai," katanya ketika ditemui di Behind The Scene Tour of Lego di Merlin Magic Making (MMM) Studios di I-Park Indahpura, Kulai, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Legoland Malaysia Resort, Kurt Stocks.

MMM pada mulanya diwujudkan pada 2009 di Gelang Patah ketika Legoland Malaysia Resort dibangunkan, bagaimanapun studio itu diperluaskan ke I-Park Indahpura.

Pemegang diploma seni grafik dari Kolej Cosmopoint ini berkata, ketika diberi tugasan, kebiasaannya dia akan mengkaji terlebih dahulu produk yang perlu dihasilkan.

"Kita kena fikir, reka bangunan dan sebagainya biarpun tidak pernah mendalaminya sebelum ini termasuk model monumen bersejarah dan sebagainya.

"Sejak kecil saya tidak gemar bermain Lego, namun apabila sudah bekerja dalam bidang ini, saya jadi seronok," katanya yang pernah menjadi pereka grafik selama dua tahun.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, selain reka model monumen bersejarah, dia pernah ditugaskan membuat produk Johor kluster termasuklah bangunan Tabung Haji, Masjid Sultan Abu Bakar dan sebagainya.

"Saya tidak rasa bosan kerana setiap hari saya menghadap tugasan atau masalah berbeza dan perlu selesaikannya mengikut masa ditetapkan.

"Sekiranya ada kanak-kanak yang mahu belajar cara reka model bangunan menggunakan Lego, saya sanggup mengajar mereka," katanya.

Disiarkan pada: July 27, 2018 @ 6:16pm
d