mutakhir

'Sayangi Malaysiaku' [METROTV]

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

PUSAT Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dipilih sebagai lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2018 kerana menjadi simbol kepada pusat pemerintahan kerajaan baharu, Pakatan Harapan (PH).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pemilihan lokasi berkenaan dilakukan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri.

Katanya, sambutan Hari Kebangsaan ke 61 tahun ini turut menjadi sambutan kemerdekaan yang penuh bersejarah kepada kerajaan.

“Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini bertema ‘Sayangi Malaysiaku,’ yang dipilih bagi meraikan dan mempertingkatkan semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Maka, semua rakyat harus membuktikan kasih sayang mereka kepada negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh perasaan bangga mulai sekarang,” katanya pada sidang media bagi memperkenalkan logo dan lagu rasmi Hari Kebangsaan 2018, di kementeriannya di Putrajaya, hari ini.

Mengenai pemilihan logo rasmi sambutan berkenaan, Gobind berkata simbol rakyat melakukan gerakan mengangkat tangan dengan satu bentuk hati di hadapan dipilih menjadi logo rasmi.

Menurutnya, logo itu membawa maksud rakyat Malaysia berbilang bangsa hidup dalam kepelbagaian yang harmoni, bersatu padu, dan terpahat perasaan sayang kepada negara.

“Logo berkenaan adalah hasil ciptaan Nik Zulkifli Nik Hitam, juga yang dipilih Dr Mahathir pada 25 Julai lalu.

“Kami menganjurkan pertandingan terbuka kepada rakyat Malaysia untuk melukis logo Hari Kebangsaan 2018 dan sebanyak 632 logo diterima sebagai penyertaan.

“Perdana Menteri turut meluangkan masa memilih logo dan lagu rasmi yang dinyanyikan kumpulan Bunkface untuk sambutan Hari Kebangsaan tahun ini,” katanya.

Mengenai lagu yang dicipta oleh Sam Bunkface, Gobind berkata, lagu berkenaan dipilih kerana ia bergenre pop dan sangat menarik.

“Lagu tema kali ini sedikit berlainan dengan sebelum ini, kerana ia ‘catchy’ dan ia menunjukkan perubahan kerajaan baharu PH yang begitu bertenaga.

“Lagu baru ini akan menjadi lagu rasmi Kerajaan PH dan akan disiarkan di semua media rasmi di seluruh negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Gobind berkata, Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 akan diadakan di Padang Kota Lama, Pulau Pinang pada 3 hingga 5 Ogos ini.

Disiarkan pada: July 27, 2018 @ 7:48pm
d