mutakhir

Gerhana bulan penuh paling lama [METROTV]

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

GERHANA bulan penuh hari ini berlangsung selama satu jam 43 minit, sekali gus menjadikan ia sebagai fenomena alam paling lama bagi abad ke-21 (2001 hingga 2100).

Timbalan Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Samsuddin Omar berkata, fenomena gerhana bulan penuh berkenaan adalah yang kedua berlaku tahun ini.

Beliau berkata, fenomena alam itu boleh dilihat di Australia, Asia (termasuk Malaysia), Afrika, Eropah dan Amerika Selatan bermula 1.14 pagi sebelum berakhir pada 7.28 pagi.

"Gerhana bulan penuh berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada pada kedudukan sejajar atau sebaris. Ketika itu keseluruhan bulan merentasi bayang umbra bumi," katanya dalam satu kenyataan.

Samsuddin berkata, ketika fenomena alam itu berlaku, bulan dengan perlahan-lahan bertukar daripada putih mutiara yang biasa dilihat kepada warna kemerahan kemudian kembali semula kepada warna asalnya dalam tempoh lima jam.

"Warna kemerahan yang dapat dilihat ketika fasa penuh gerhana bulan hari ini berbeza daripada gerhana bulan penuh yang lain bergantung kepada beberapa faktor termasuk keadaan di atmosfera atas bumi dan kedudukan bulan di sepanjang orbit.

"Gerhana bulan hari ini, boleh dilihat dari mana-mana kawasan di Malaysia bergantung kepada keadaan cuaca setempat.

"Bagaimanapun tidak semua tempat di Malaysia akan dapat melihat keseluruhan fasa gerhana yang berlaku kerana bulan terbenam lebih awal sebelum fasa tertentu berakhir," katanya.

Katanya, secara amnya penduduk di Malaysia akan dapat melihat hampir keseluruhan fasa gerhana sejak daripada mula berlakunya fenomena ini hingga bulan terbenam bergantung kepada lokasi di mana mereka berada.

Disiarkan pada: July 27, 2018 @ 8:13pm
d