mutakhir

Peserta Ratu Kebaya teruja lawat NSTP

Oleh Zuhainy Zulkiffli

BERKUNJUNG ke pejabat The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown menjadi pengalaman baharu kepada 37 peserta pertandingan Ratu Kebaya Kompleks Bukit Jambul (KBJ) 2018.

Lawatan mesra berkenaan antara aktiviti dilakukan peserta bagi menyesuaikan diri dengan masyarakat selain membentuk keyakinan diri.

Peserta dari Melaka, Nurul Shafiqa Dawood, 26, berkata selain berkunjung ke bilik berita NSTP, peserta dibawa melawat ke tempat ikonik dan tumpuan pelancong.

Katanya, aktiviti berkenaan menjadi pengalaman berharga kerana dapat melihat budaya di Pulau Mutiara dengan lebih dekat.

“Sebagai guru sementara bertugas di Melaka, saya mengambil cuti selama beberapa hari bagi mengikuti program ini.

“Pulau Pinang sangat unik kerana kita boleh melihat penyatuan pelbagai kaum selain makanannya yang enak,” katanya.

Pertandingan Ratu Kebaya anjuran KBJ adalah acara tahunan pengurusan kompleks terbabit bagi mempromosikan pakaian kebaya selain menampilkan kebolehan peserta yang memperaga pakaian itu.

Pertandingan separuh akhir akan berlangsung pada 17 Ogos dan peringkat akhir pada 25 Ogos.

Disiarkan pada: July 27, 2018 @ 9:28pm
d