mutakhir

7 penipu RM180,000 ditahan

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

POLIS menahan tujuh lelaki disyaki ahli sindiket penipuan cabutan bertuah bagi menggandakan wang membabitkan seorang mangsa warga emas yang kerugian RM180,000 di Sitiawan dekat Manjong, kelmarin.

Tujuh individu berusia antara 22 hingga 31 tahun itu ditahan di sebuah inap desa di Taman Pantai Gemilang, Pantai Remis, pada 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, penahanan semua suspek terbabit bersangkut kes di Sitiawan yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, modus operandi sindiket terbabit adalah meminta mangsa menyertai peraduan cabutan bertuah untuk menggandakan wang sebelum diberikan sampul berisi kupon mengisi minyak dan wang tunai RM100.

“Suspek memberitahu mangsa memenangi cabutan bertuah dan akan menerima RM200 sekiranya mengisi minyak di mana-mana stesen minyak, namun ditolak mangsa berusia 76 tahun.

“Suspek kemudian memberitahu mangsa masih berpeluang untuk memenangi cabutan bertuah berkenaan dengan hanya mengeluarkan wang simpanan dan perlu mengambil gambar wang itu untuk ditunjukkan kepada bosnya.

“Suspek mendakwa peluang itu diberikan kerajaan sebagai bantuan kebajikan kepada warga emas menyebabkan mangsa akhirnya mengeluarkan wang simpanan RM180,000 dan menyerahkan kepada suspek kerana terpedaya wang berkenaan boleh digandakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Manjung, hari ini.

Muhammad Hanif berkata, hasil maklumat awam pihaknya menyerbu inap desa terbabit dan merampas wang tunai RM57,000, beberapa beg, resit transaksi bank selain beberapa telefon bimbit dan dua kereta.

Beliau berkata, kumpulan sindiket itu bergerak dari satu tempat ke satu tempat dan mempunyai pengalaman lama dalam kegiatan itu berikutan ada di antara mereka mempunyai rekod kesalahan sama selain dadah.

“Sasaran kumpulan ini adalah sesiapa sahaja seperti suri rumah, kakitangan kerajaan dan warga emas.

“Polis berterima kasih kepada orang awam terutama community policing yang membantu mencegah kegiatan jenayah di daerah ini.

“Selain itu, masyarakat dinasihatkan supaya lebih berwaspada dan tidak mudah mempercayai taktik sedemikian,” katanya.

Disiarkan pada: July 27, 2018 @ 11:51pm
d