mutakhir

KPM sasar BM bahasa popular global pada 2028

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

KEMENTERIAN Pendidikan menetapkan tempoh 10 tahun dari sekarang untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa popular di peringkat global.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, sasaran itu boleh dicapai sekiranya perasaan cinta terhadap bahasa kebangsaan dapat diterapkan dalam kalangan mahasiswa.

“Saya amat mengagumi keindahan dan keunikan puisi Melayu seperti pantun, syair, gurindam dan seumpamanya.

“Tetapi kesenian Melayu ini makin lama makin hilang tempat ditelan zaman. Ia makin kurang dihargai masyarakat moden hari ini terutama dalam kalangan generasi muda,” katanya kepada media ketika merasmikan Malam Simfoni Kasih dan Majlis Pelancaran Projek Malaysia Book of Records (MBOR) Aspiration of Merdeka@Trans-Aronia anjuran pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Kuala Lumpur, hari ini.

Program yang bermula hari ini hingga 26 Ogos itu bakal mencipta MBOR sebagai ‘The Largest Participation In A Poetry Recital Tour ‘ yang merekodkan penyertaan berpuisi 20,000 rakyat Malaysia daripada tiga benua iaitu Asia, Eropah dan Afrika.

Katanya, Kementerian Pendidikan akan menerapkan prinsip kegembiraan, kasih sayang dan saling menghormati sebagai tunjang sistem pendidikan negara di semua peringkat pengajian.

“Sesungguhnya semangat saling menghormati, perpaduan dan keharmonian mampu menjadi pemangkin kepada rakyat negara ini untuk menyemai semangat cintakan negara,” katanya.

Turut hadir, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar.

Disiarkan pada: July 28, 2018 @ 12:17am
d