mutakhir

Bawa anak 10 tahun berjudi [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS merampas 208 mesin slot, 73 mesin simulator dan 63 mesin tambah nilai dianggarkan bernilai RM1 juta dalam serbuan di 10 premis menjalankan kegiatan judi tanpa lesen di Jalan Bandar Rawang 3, Rawang, 8 malam tadi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, seramai 113 individu terdiri daripada 72 pemain dan 41 penjaga selain seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang dibawa ibu bapanya ke salah satu premis judi berkenaan ditahan.

“Dalam operasi khas banteras judi di kawasan ini, kami menyerbu 10 premis dan menahan 113 individu berusia 18 hingga 59 tahun serta seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.

“Kami merampas 208 mesin slot, 73 mesin simulator dan 63 mesin tambah nilai yang dianggarkan bernilai RM1 juta,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, tengah malam ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor.

Mohamad Fuzi berkata, sejak diumumkan penubuhan bilik gerakan khas bagi judi tanpa lesen pada 20 Julai lalu, pihaknya menerima lebih 100 maklumat di seluruh negara.

“Sebaik menerima maklumat berkenaan, kami terus membuat serbuan bagi membanteras kegiatan judi tanpa lesen di seluruh negara.

“Kami memandang serius terhadap kegiatan judi tanpa lesen dan bertekad untuk membanteras aktiviti berkenaan yang banyak mendatangkan masalah sosial dalam masyarakat,” katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2018 @ 12:26am
d