mutakhir

Beri perhatian isu setempat!

Oleh Mohd Azrone Sarabatin dan Mohd Nasaruddin Parzi

BARISAN Nasional (BN) perlu mengubah pendekatan kempen dengan menumpukan isu dan permasalahan dihadapi penduduk tempatan, bukannya isu nasional.

Penganalisis Politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, BN dan UMNO perlu mengekalkan tradisi kempen mereka selama ini yang mengetengahkan isu-isu setempat terutama dalam Pilihan Raya Kecil (PRK).

Beliau berkata, kaedah itu jauh lebih berkesan untuk PRK terutama bagi Sungai Kandis, yang hanya membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) saja.

“Itu lebih baik untuk menarik sentimen pengundi menyokong mereka. Kaedah ini dilihat tidak begitu diutamakan dalam kempen BN kali ini.

“Saya kira dalam banyak PRK, isu tempatan menjadi antara topik begitu dekat di hati pengundi berbanding dengan isu nasional,” katanya.

Biarpun mengakui kedudukan DUN Sungai Kandis berdekatan dengan pusat bandar raya Shah Alam, Syed Agil berkata, sebahagian kawasan di DUN Sungai Kandis masih kawasan perkampungan atau desa.

“Sebab itu, isu tempatan seharusnya menjadi keutamaan BN. BN perlu mengenalpasti masalah-masalah setempat yang boleh dijuarai berbanding membawa sentimen nasional yang dilihat tidak begitu berupaya menarik sentimen pengundi di sana,” katanya.

Beliau berkata, isu nasional dilihat terlalu subjektif bagi penduduk, sekadar membentuk sentimen kebencian, namun ia belum tentu berupaya mengubah undi seseorang.

Bagi pensyarah kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Ismail Sualman, DUN Sungai Kandis masih memerlukan penekanan terhadap isu setempat.

Biarpun DUN berkenaan menggabungkan kawasan bandar dan pinggir bandar, sentimen masyarakat di sana masih mahukan isu seperti pembangunan berlebihan diambil perhatian wakil rakyatnya.

Sejak hari pertama kempen, calon BN, Datuk Lokman Noor Adam akui mahu membawa isu nasional seperti kedudukan institusi Islam, Yang di-Pertuan Agong serta orang Melayu sebagai bahan kempennya.

Pendekatan itu jelas berbeza dengan kempen calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, yang bertumpu kepada penyelesaian beberapa isu tempatan seperti masalah infrastruktur jalan, air dan saluran perparitan, selain pembangunan modal insan dan wanita.

Sementara itu, penyokong BN dari Kampung Pandan, Klang, Ramli Ahmad, 66, berkata, BN seharusnya menumpukan kepada strategi menawan pengundi bukan memperkecilkan isu tempatan yang dibangkitkan PKR.

Dia berkata, tindakan Lokman yang dilaporkan menafikan isu kebersihan seperti sampah dan longkang tersumbat tidak seharusnya diperkecilkan.

“Kita akui PKR sukar digugat di DUN Sungai Kandis, namun jika cara berkempen disukai rakyat, tidak mustahil BN boleh merampas kerusi berkenaan,” katanya.

PRK Sungai Kandis diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pertembungan tiga penjuru itu turut membabitkan calon Bebas, K Murthy.

Pada PRU-14, DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan Mat Shuhaimi mempertahankan kerusinya apabila mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari; calon PAS, Mohd Yusof Abdullah dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin.

Mat Shuhaimi meraih 23,998 undi dengan majoriti 12,480 undi, mengalahkan Kamaruzzaman (11,518 undi), Mohd Yusof (7,573 undi) dan Hanafiah (76 undi).

Disiarkan pada: July 28, 2018 @ 9:40am
d