mutakhir

Analisis lokasi tumpahan minyak

Oleh Nur Izzati Mohamad

Tasek Gelugor: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Laut Pulau Pinang menganalisis lokasi kejadian kapal yang terbalik dan karam di perairan Permatang Damar Laut, Bayan Lepas dekat sini, kelmarin, bagi meninjau sama ada berlaku tumpahan minyak di kawasan itu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, pihaknya dimaklumkan ada kesan tumpahan minyak di kawasan perairan itu, sekali gus membimbangkan nelayan berikutan ia boleh menjejaskan sumber perikanan dan ekosistem laut.

“Difahamkan berlaku tumpahan minyak dalam kejadian kapal karam semalam (kelmarin) dan hari ini (semalam) kedua-dua agensi iaitu LKIM serta Jabatan Laut turun untuk menganalisis kawasan terbabit.

“Ia adalah untuk mengenal pasti langkah yang boleh diambil bagi membersihkan kawasan terjejas,” katanya selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Ara Kuda di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi kelmarin, sebuah kapal yang membawa muatan ikan sepanjang 43.6 meter karam selepas dipercayai berlanggar dengan bangkai kapal simen yang karam dan dijadikan tukun di situ.

Kejadian itu berlaku di kedudukan 2.65 batu nautika dari Barat Pulau Rimau, Pulau Pinang.

Kapal dari Hong Kong itu dikatakan dalam perjalanan memasuki Pulau Pinang untuk mengimport ikan sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Langkawi.

Seorang kapten dan empat anak kapal bertugas ketika insiden dan mereka berjaya menyelamatkan diri.

Berikutan kejadian itu, kapal berkenaan menanggung kerugian dianggarkan RM3.5 juta apabila pelbagai barangan termasuk alat navigasi tenggelam.

Disiarkan pada: July 28, 2018 @ 10:03am
d