mutakhir

'Wira kamek'

Oleh Mohd Radzi Bujang dan Mohd Rizal Abdullah

Kuching: Pengorbanan Catherine Janet Tiwi, 25, menyelamatkan nyawa dua rakan setugasnya dalam tragedi kebakaran kuarters Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bungan di Mulu, Miri terus tular di laman sosial selain dijadikan sumber inspirasi kepada masyarakat.

Walaupun ramai yang tidak mengenali guru muda itu secara peribadi tetapi mengagumi semangat keberaniannya hingga sanggup menggadaikan nyawanya sendiri untuk menyelamatkan rakan setugasnya atas faktor nilai persahabatan dan semangat setiakawan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak negeri, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, guru berkenaan meletakkan keselamatan rakannya pada tahap keutamaan tertinggi sehingga nyawanya sendiri menjadi taruhan, malah seharusnya mendiang dikenang sebagai Wira Sarawak.

“Cikgu Catherine satu lambang semangat tulen seorang guru yang mampu mengangkat ‘darjat’ kerjaya warga pendidik, bukan hanya di Sarawak, bahkan di Malaysia.

“Semangatnya perlu dijiwai segenap lapisan guru di negara ini terutamanya mereka yang mencurahkan bakti di sekolah pedalaman dan luar bandar.

“Sewajarnya Cikgu Catherine dikenang pada tahap penghargaan tertinggi, setimpal dengan pengorbanan dilakukannya kerana insiden berkenaan berlaku di lokasi penugasannya di sekolah pedalaman dan luar bandar dalam keadaan serba-serbi kekurangan demi tanggungjawabnya pada anak bangsa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

Dalam insiden kebakaran kira-kira jam 5 pagi itu, Catherine yang berasal dari Kampung Skio, Bau dan juga lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) Miri terkorban ketika cuba menyelamatkan dua rakan setugasnya yang terperangkap dalam kuarters terbabit.

Difahamkan, mangsa yang juga anak kepada seorang anggota bomba itu bertindak masuk semula ke dalam kuarters berkenaan sejurus menyedari dua lagi rakannya masih terperangkap tetapi guru muda itu dipercayai gagal menyelamatkan diri berikutan api marak dan asap tebal.

Fatimah yang sebelum ini lantang memperjuangkan usaha penambahbaikan kemudahan pendidikan di Sarawak berkata, semua pihak khususnya Kerajaan Persekutuan wajar mengambil iktibar daripada tragedi itu yang jelas memperlihatkan keperluan mendesak proses menaik taraf sekolah daif di negeri itu khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Kementerian Pendidikan perlu ‘buka mata’...perlu beri keutamaan tertinggi terhadap usaha penambahbaikan itu bagi memastikan keselesaan dan keselamatan warga pendidik, selain murid dan pelajar di semua sekolah berkenaan berada pada tahap terbaik.

“Kita cukup mengagumi semangat kental warga pendidik yang berkhidmat di sekolah daif itu, yang bukan saja kelas dan rumah gurunya usang tetapi ada yang tidak mendapat bekalan elektrik dan air bersih atau kemudahan jalan raya, namun cukup berdedikasi mendidik anak bangsa.

“Ini perlu diberikan perhatian untuk usaha penambahbaikan,” katanya.

Sementara itu, mendiang Catherine dijangka dikebumikan di Kampung Skio, Bau, kira-kira jam 1 tengah hari ini sejurus selesai majlis penghormatan terakhir dalam kalangan anggota keluarga dan rakannya.

Disiarkan pada: July 28, 2018 @ 10:15am
d