mutakhir

'Saya tak akan lari'

Oleh Teoh Pei Ying

Kuala Lumpur: Syarikat MonSpace Sdn Bhd akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung siasatan dijalankan terhadap mereka, sekali gus membuktikan perniagaan syarikat itu sah di sisi undang-undang.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan, Datuk Seri Jessy Lai berkata, pihak berkuasa mempunyai hak melakukan serbuan dan siasatan.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 27B Akta Jualan Langsung dan Anti Piramid 1993 dan tindakan itu adalah adil.

“Sejak MonSpace ditubuhkan pada 2014, ada keraguan yang menyatakan syarikat ini terbabit dengan kegiatan money game atau skim cepat kaya.

“Justeru, siasatan dilakukan boleh membantu membersihkan imej syarikat yang sebelum ini dikaitkan dengan aktiviti haram berkenaan.

“Semua syarikat dan organisasi di bawah MonSpace menjalankan operasi secara sah dan mengikut undang-undang. Tidak ada satu pun daripada mereka terbabit dengan sebarang aktiviti money game,” katanya di Ibu Pejabat MonSpace di Bukit Jalil di sini, semalam.

Sebanyak 16 premis MonSpace di sekitar Lembah Klang dan Ipoh, Perak, diserbu selepas dipercayai melakukan kegiatan pelaburan haram atau money game dalam operasi bersepadu, Selasa lalu.

Operasi Coin (Op Coin) itu membabitkan pelbagai agensi penguat kuasa termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Bank Negara Malaysia dan Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Negara (NRRET).

Hasil operasi itu, 72 akaun bank yang berkaitan dengan syarikat berkenaan membabitkan wang RM5.86 juta dibekukan pihak berkuasa.

Ketika ditanya berkaitan pemilik akaun yang dibekukan, Jessy berkata, pihaknya hanya dimaklumkan 15 akaun MonSpace di ibu pejabat syarikat berkenaan di Bukit Jalil dibekukan dan mencari maklumat lanjut berhubung pemilik akaun lain yang dikenakan tindakan sama.

Menurutnya, walaupun siasatan dilakukan, syarikat itu masih beroperasi seperti biasa.

Ditanya mengenai larangan ke luar negara, beliau mengakui disenarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia selepas menerima permohonan daripada KPDNHEP.

“Saya sepatutnya dijadualkan ke Paris pada 4 Oktober ini, namun saya akan berada di dalam negara bagi membantu siasatan,” katanya.

Jessy turut mengesahkan yang MonSpace tidak disenarai hitam dalam Senarai Kewangan Peringatan Pengguna Bank Negara Malaysia, sebaliknya syarikat itu hanya dipantau.

Sementara itu, beliau mengakui kecewa dengan khabar angin disebarkan beberapa pihak berhubung maklumat disampaikan dalam sidang media dibuat Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Mohd Roslan Mahayudin, Rabu lalu.

Katanya, ada beberapa pihak yang mempunyai agenda tersendiri dengan memanipulasikan jumlah penguat kuasa yang terbabit dan wang tunai dirampas dalam operasi berkenaan.

Disiarkan pada: July 28, 2018 @ 10:29am
d