mutakhir

Tergamak bawa anak berjudi [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KETAGIH judi menyebabkan suami isteri sanggup membawa anak mereka berusia 10 tahun ke dalam premis judi haram.

Malah, mereka memberi alasan itu adalah kali pertama mereka bertindak demikian kerana tiada siapa yang menjaga kanak-kanak perempuan berkenaan.

Suami isteri masing-masing berusia 30-an itu antara 113 individu yang ditahan dalam operasi khas banteras judi haram di Jalan Bandar Rawang 3, Rawang, malam tadi.

Sementara itu, pemandu lori berusia 40-an yang juga bapa kepada lima anak masih bersekolah memaklumkan, dia sering ke premis judi itu dan menghabiskan banyak masa untuk bermain judi.

"Saya selalu ke premis ini dan menghabiskan masa beberapa jam sebelum pulang ke rumah selepas habis waktu bekerja.

"Hari ini (malam tadi) saya datang ke premis ini 5 petang dan belum menang apa-apa lagi," katanya ketika ditemui dalam operasi itu, di sini, malam tadi.

Tinjauan wartawan yang menyertai operasi itu mendapati ada beberapa premis judi haram berkenaan menawarkan tawaran menarik kepada pelanggan termasuk menyediakan makanan percuma pada hari tertentu.

Dalam operasi itu, polis merampas 208 mesin slot, 73 mesin simulator dan 63 mesin tambah nilai koin yang dianggarkan bernilai RM 1 juta dalam serbuan di 10 premis yang menjalankan kegiatan judi haram di kawasan berkenaan.

Kedudukan 10 premis judi berkenaan yang terletak di sepanjang deretan bangunan itu adalah dekat antara satu sama lain.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, seramai 113 individu terdiri daripada 72 pemain dan 41 penjaga selain seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang dibawa ibu bapanya ke satu daripada premis judi berkenaan.

"Dalam operasi khas banteras judi dilakukan di kawasan ini, kami membuat serbuan di 10 premis dan menahan 113 individu berusia 18 hingga 59 tahun selain seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.

"Daripada jumlah itu, 41 penjaga premis yang kebanyakan terdiri daripada warga asing membabitkan 24 perempuan dan 17 lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun ditahan.

"Kami merampas 208 mesin slot, 73 mesin simulator dan 63 mesin tambah nilai koin yang dianggarkan bernilai RM 1 juta dalam serbuan berkenaan," katanya pada sidang media di lokasi serbuan, di sini, tengah malam tadi.

Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor.

Mohamad Fuzi berkata, kebanyakan pemain yang datang ke premis judi haram berkenaan adalah golongan berpendapatan rendah.

"Kebanyakan pemain berpendapatan rendah, namun menghabiskan wang mereka untuk berjudi.

"Malah, ada yang mengaku tidak pernah menang tetapi masih bermain (judi) kerana sudah ketagih," katanya.

Beliau berkata, sejak diumumkan penubuhan bilik gerakan khas bagi judi haram pada 20 Julai lalu, pihaknya menerima lebih 100 maklumat di seluruh negara.

"Sebaik menerima maklumat berkenaan, kami terus membuat serbuan bagi membanteras kegiatan judi haram di seluruh negara.

"Kami memandang serius terhadap kegiatan judi haram di seluruh negara dan bertekad untuk membanteras aktiviti berkenaan yang banyak mendatangkan masalah sosial dalam masyarakat," katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2018 @ 2:55pm
d