mutakhir

Selaraskan had umur berkahwin

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengadakan perbincangan dengan exco berkaitan di seluruh negara, bagi membincangkan penetapan had umur berkahwin kepada 18 tahun.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, perkara itu perlu diselaras di semua negeri dalam usaha melindungi kanak-kanak.

Katanya, isu perkahwinan bawah umur ini bukan membabitkan Kelantan dan Sarawak sahaja, sebaliknya hampir kesemua negeri.

“Berdasarkan statistik sepanjang 10 tahun sejak 2007, sebanyak 10,000 kes direkodkan membabitkan perkahwinan bawah umur bagi golongan Islam, manakala 4,999 kes bagi bukan Islam.

“Angka itu begitu tinggi dan serius dan disebabkan itu kerajaan akan mengotakan janji untuk menetapkan had umur 18 tahun untuk berkahwin, berbanding kini 16 tahun.

“Justeru, perkara itu akan dibangkitkan menerusi mesyuarat membabitkan seluruh exco dan mungkin ia mengambil masa untuk mencapai kata putus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Karnival Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) 2018 dan Pelancaran Logo Baharu YOKUK.

Turut hadir, Pengasasnya, Datuk Zaid Ibrahim.

Akhbar sebelum ini melaporkan, kerajaan akan membentangkan pindaan untuk menaikkan had umur perkahwinan bagi perempuan daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pindaan itu akan dilakukan pada persidangan Dewan Rakyat, bagi memastikan hak dan kepentingan kanak-kanak, termasuk berkaitan isu perkahwinan, dapat dilindungi sepenuhnya.

Hannah berkata, untuk menyelaraskan had umur berkahwin kepada 18 tahun, pihaknya pada masa sama perlu mengkaji kenapa ibu bapa sanggup membenarkan anak di bawah umur berkahwin.

“Tanggungjawab anak-anak adalah tugas ibu bapa, jadi kita perlu faham dahulu apa yang mendorong mereka berkahwin ketika bawah umur sebelum mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2018 @ 3:17pm
d