mutakhir

Ibu bapa, kerap bersihkan anak

Oleh Harun Yahya

KEMENTERIAN Kesihatan mengesahkan kematian kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Hospital Sibu hari ini berpunca dari jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengesahan itu berdasarkan simptom penyakit berkenaan pada kanak-kanak terbabit.

“Mangsa mula mengalami demam pada 24 Julai 2018 dan menunjukkan tanda-tanda seperti ruam di tapak tangan dan kaki serta ulser dalam mulut pada 25 Julai lalu.

“Selanjutnya, kanak-kanak itu dibawa ke Klinik Kesihatan Daro dan telah disahkan dijangkiti HFMD, selain dinasihatkan menjalani rawatan segera," katanya dalam satu kenyataan, di Kuching, hari ini.

Semalam, mangsa dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Daro dalam keadaan tidak stabil sebelum kes dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

"Mangsa dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sibu pada 2 pagi disebabkan jangkitan paru-paru yang teruk (severe pneumonia). Sampel klinikal turut diambil untuk ujian lanjut," katanya.

Beliau turut menasihati ibu bapa dan penjaga untuk sentiasa mengekalkan kebersihan di rumah, pusat penjagaan kanak-kanak, tadika dan sekolah dan persekitarannya.

“Basuh semua alat mainan dan permukaan meja, kerusi, lantai, dan sebagainya yang telah tercemar dengan air liur kanak-kanak.”

“Ibu bapa juga dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak mereka ke tempat awam yang ramai seperti kolam renang, pasar, pusat membeli-belah dan stesen bas,” katanya.

Di Sibu, Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak, Dr Annuar Rapaee mahu pentadbiran sekolah, pengusaha taska, tadika dan pusat asuhan kanak-kanak memantau rapi tahap kebersihan persekitaran premis mereka.

Katanya, ia sebagai langkah membendung penularan jangkitan itu yang disyaki menjadi punca kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dari Daro, Mukah hari ini.

“Perlu lebih kerap membasuh tangan, termasuk menggunakan sabun dan cecair nyah kuman. Jika anak-anak mempunyai tanda demam, segera bawa untuk pemeriksaan kesihatan," katanya.

Katanya, HFMD adalah penyakit bawaan virus yang mudah berjangkit melalui sentuhan yang memerlukan aspek kebersihan diri dan persekitaran sentiasa dititikberatkan.

Berita berkaitan

Budak maut kena HFMD

Disiarkan pada: July 28, 2018 @ 8:58pm
d