mutakhir

Resipi ibu diubah suai pikat juri

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PERCUBAAN kali pertama Siti Nor Yuwana Zulkifli, 35, menyediakan masakan daging salai berjaya menambat hati juri, sekali gus dinobatkan juara peringkat akhir Cabaran Raja Kuah Knorr di pasar raya NSK Trade City, Seremban 2, Seremban, hari ini.

Program anjuran Unilever Food Solutions (UFS) itu menyaksikan 10 peserta dari seluruh negara tampil mempamerkan kehebatan masing-masing dalam bidang masakan.

Tiga resipi diperkenalkan Siti Nor Yuwana ialah Masak Lemak Warisan Bonda, Daging Salai Berapi dan Ayam Masak Kicap Cara Saya.

Siti yang berasal dari Besut, Terengganu mengakui rezeki berpihak kepadanya apabila dia dipilih sebagai juara sedangkan pada awal penyertaannya sekadar suka-suka sahaja.

Menurutnya, dia tidak pernah menyediakan masakan daging salai yang popular dari Negeri Sembilan itu, lalu mencabar dirinya dan ternyata membuahkan hasil apabila ia digemari juri.

“Saya seperti tidak percaya apabila diumumkan sebagai juara kerana saya hanya mengikut cita rasa sendiri dan sepanjang menyediakan tiga masakan itu, saya agak ketinggalan berbanding peserta lain.

“Sepanjang pertandingan berlangsung selama 90 minit itu, saya agak gementar sehinggakan kaki tiba-tiba kejang. Mujur saya sudah biasa dengan dua hidangan disediakan lantas cuba menguruskan masa supaya tekanan tidak menjejaskan tumpuan dan rasa masakan,” katanya.

Siti berkata, menu masak lemak dan ayam masak kicap dipersembahkan dihasilkan daripada resipi arwah ibunya, tetapi diolah sedikit mengikut cita rasa sendiri dan ditambah pula dengan menggunakan bahan keluaran Knorr termasuk Knorr Chicken Stock dan 'Knorr Pasti Sedap' menjadi bertambah memikat selera.

Siti membawa pulang pakej umrah untuk dua orang bernilai RM25,000, wang tunai RM15,000 dan hamper.

Tempat kedua dimenangi Fazerina Ibrahim, 34, yang menyediakan Ketam Berkari Menjilat Jari, Simpul Kasih Daging Salai Masak Lemak Cili Padi dan Daging Masak Hitam manakala tempat ketiga, Ali Zainuddin Adnan, 39, dengan menu Kari Ketam Telur Masin Knorr, Gulai Lemak Ayam Cendawan Kukur Knorr dan Daging Pinang Kicap Pekat Knorr.

Juri mengadili pertandingan itu adalah Chef Mohd Johari Edrus atau lebih dikenali sebagai Chef Jo, Chef Profesional UFS Mohd Hadzrin Mohd Din dan pengarang majalah masakan, Rosmarlinda Kamarudin.

Dalam pada itu, Pengurus Pemasaran, Angeline Ho berkata, sejak diperkenalkan dua tahun lalu acara anjuran UFS ini berfokuskan kepada masakan Melayu berkuah terutama hidangan kari, kicap dan masak lemak.

Beliau berkata, selepas tiga kali penganjuran mendapat penyertaan memberangsangkan daripada peserta, UFS berhasrat meneruskan cabaran sama pada tahun depan dengan melakukan beberapa penambah baikan dari segi syarat penyertaan dan hadiah ditawarkan.

Disiarkan pada: July 28, 2018 @ 9:41pm
d