mutakhir

Hak orang Islam [METROTV]

Oleh Syalikha Sazili dan Faris Fuad

Kuala Lumpur: Gerakan Pembela Ummah (Ummah) bersama lebih 300 badan bukan kerajaan (NGO) mengemukakan 10 tuntutan terhadap kerajaan bagi memastikan hak orang Melayu dan Islam terus dipelihara.

Ketua Sekretariat UMMAH, Aminuddin Yahya berkata, sejak Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan baru, agama Islam dan kedudukan orang Melayu kian terancam.

Katanya, ini juga termasuk mencabar Institusi Diraja dengan mempertikaikan kedudukan Yang di Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

“Perkara utama yang dituntut adalah tindakan dan keputusan kerajaan perlu bertunjangkan kepada asas Perlembagaan Negara tanpa menjejaskannya.

“Keabsahan agama Islam sebagai agama rasmi dan hak istimewa orang Melayu tidak boleh digugat sama sekali kerana itu jaminan pembentukan negara.

“Pengiktiraf UEC mesti ditolak sama sekali kerana bukan saja ia bertentangan dengan Perlembagaan dan dasar pendidikan, malah menyebabkan polarisasi kaum yang lebih ketara,” katanya pada Perhimpunan Kebangkitan Ummah, di sini, semalam.

Lebih 2,000 orang membanjiri padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru.

Turut hadir, Pengerusi Ummah, Ismail Mina Ahmad dan Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Masridzi Sat.

Antara lain yang dituntut adalah tidak memberikan sebarang peruntukan kewangan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

“Peruntukan kepada sekolah itu tidak termasuk di bawah kurikulum dan sistem pendidikan kebangsaan malah tiada asas di sisi Perlembagaan.

“Ia seharusnya dimanfaatkan untuk kegunaan yang lebih luas kepada rakyat seperti program MyBrain, sekolah agama,” katanya.

Selain itu, turut dituntut semua urusan dan kenyataan rasmi oleh kerajaan perlu menggunakan bahasa kebangsaan sesuai dengan Perkara 152 Perlembagaan Negara dan bahasa Melayu perlu terus diperkasakan.

“Ummah juga mahu kerajaan memberikan ruang kepada kami berbincang dan meneliti sebarang polisi atau akta yang akan dikemukakan ke Parlimen, seperti Akta Harmoni Nasional dan Akta Kebencian Agama dan Kaum,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin juga berkata, pihaknya akan meneruskan siri jelajah perhimpunan ini ke peringkat negeri bagi terus mendesak kerajaan mengenai perkara ini.

Disiarkan pada: July 29, 2018 @ 3:12am
d