mutakhir

Seronok, kasih sayang, hormat [METROTV]

Oleh Shaarani Ismail

Seri Iskandar: Kementerian Pendidikan akan memastikan tiga perkara iaitu keseronokan, kasih sayang dan hormat menghormati menjadi asas dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, ia bagi memastikan semua pihak tidak merasakan pendidikan itu sesuatu yang menekankan dan membebankan.

Menurutnya, proses pembelajaran sepatutnya menjadi satu perkara yang sangat menyeronokkan dan tidak sepatutnya memberikan tekanan kepada pelajar, guru serta pensyarah.

Katanya, tidak dinafikan terdapat beberapa perkara yang memerlukan guru dan pensyarah perlu menanganinya dengan serius tetapi urusan itu tidak patut berlangsung dalam suasana dan situasi yang boleh memberikan tekanan.

“Belajar sepatutnya menjadi sesuatu yang menyeronokkan dan bukannya menjadikan pelajar serta guru tertekan.

“Guru, pelajar dan pensyarah hari ini berdepan dengan pelbagai tekanan dan kita merasakan pendidikan sebagai sesuatu yang membebankan dan akhirnya kita lihat ramai yang terjejas kesihatannya.

“Ada yang sehingga bertindak membunuh diri, ramai yang alami kemurungan, tekanan, sakit jantung dan darah tinggi.

“Pendidikan sepatutnya menjadi satu bidang yang menggembirakan dan bukan memberikan tekanan (kepada guru dan pelajar), ” katanya ketika berucap di majlis Penganugerahan Biasiswa Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP) di Dewan Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP), semalam.

Seramai 210 daripada 330 pelajar yang terpilih menerima tajaan pendidikan masing-masing pada program itu.

Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia PETRONAS Datuk Raiha Azni Abdul Rahman.

Disiarkan pada: July 29, 2018 @ 3:16am
d