mutakhir

Santuni Palestin

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Menganjurkan kempen ibadah korban untuk penduduk Gaza. Itulah inisiatif terbaru yang dilaksanakan Persatuan Cinta Gaza Malaysia (PCGM) dalam usaha menyantuni saudara Muslim di Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Israel.

Pengasas PCGM Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman yang juga satu-satunya rakyat Malaysia di Gaza menyatakan kejayaan kempen itu pasti membawa keceriaan kepada masyarakat Muslim di Gaza.

Menurutnya, kempen seumpama itu dilaksanakan setiap tahun dan pada hari kebesaran Islam lain agar masyarakat Islam Palestin tidak ketinggalan atau berasa tersisih.

“Sempena Aidiladha bakal menjelang tidak lama lagi kami merancang untuk melaksanakan ibadat korban hasil sumbangan rakyat Malaysia yang begitu prihatin dengan permasalahan serta derita masyarakat Islam di Gaza.

“Bagi tujuan itu, kami memerlukan RM1,900 untuk seekor kambing, manakala nilai sama untuk satu bahagian lembu.

“Harganya memang agak mahal berbanding negara lain kerana proses membawa masuk ternakan dan bahan mentah ke Gaza amat sukar,” katanya, kelmarin.

Muhammad Nadir berkata, orang ramai yang mahu menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 5648 1050 7826.

Katanya, PCGM tidak menyasarkan jumlah tertentu kutipan atau penyertaan, namun berharap supaya rakyat Malaysia dapat membantu usaha dilakukan sekali gus membawakan sinar untuk rakyat Gaza.

Berkongsi mengenai keadaan terkini di Gaza menurutnya, keadaan semakin tenang berbanding minggu lalu apabila tentera rejim Zionis melancarkan lebih 40 serangan di Katibah, berhampiran pusat bandar Gaza.

“Tentera rejim turut melancarkan serangan sekitar sempadan sehingga meragut nyawa termasuk anggota tentera daripada Briged Izzuddin Al-Qassam.

“Namun tidak ada istilah ‘aman’ jika berada di Gaza. Sebarang kemungkinan boleh berlaku namun penduduk di sini sudah lali dengan keadaan berkenaan.

“Itu menjadi lumrah mereka sejak kecil lagi. Namun, saya mengharapkan rakyat Malaysia meneruskan kiriman doa dan kesejahteraan untuk masyarakat Islam di sini,” katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2018 @ 3:25am
d