mutakhir

Tak sempat dibelai

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

Kuala Lumpur: Hasrat 10 lelaki tempatan berhibur sambil dibelai wanita pelayan pelanggan (GRO) di pusat hiburan di Bukit Bintang di sini, terbantut apabila premis berkenaan diserbu pihak berkuasa, awal pagi semalam.

Difahamkan, bagi mendapatkan khidmat GRO wanita tempatan, pelanggan perlu membayar pakej VIP bilik karaoke berharga RM2,000 hingga RM3,000 sejam.

Pusat hiburan itu adalah lokasi kedua daripada tiga premis sekitar Bukit Bintang yang diserbu 361 anggota pelbagai agensi kerajaan serta dibantu badan bukan kerajaan (NGO) dalam operasi Banteras Aktiviti Haram (BAH) Siri ke-45 yang turut disertai Menteri Wilayah, Khalid Samad.

Difahamkan, pusat hiburan yang menawarkan layanan GRO sambil berkaraoke itu sudah tiga kali diserbu pihak berkuasa.

Ketua Penyelaras Ops BAH Azman Mahmood berkata, dalam serbuan itu, 15 wanita serta dua lelaki ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengikut Seksyen 43 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559).

Katanya, mereka yang ditahan akan dikenakan tindakan mengikut kesalahan seperti meneguk minuman memabukkan, menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama serta bersubahat melakukan jenayah syariah kerana bekerja sebagai GRO.

“Pusat hiburan yang menawarkan layanan GRO di bilik karaoke itu masih lagi melanggar beberapa kesalahan seperti membenarkan pelanggan beragama Islam minum arak termasuk membenarkan kegiatan layanan wanita.

“Dalam serbuan itu, 15 wanita serta dua lelaki beragama Islam kita tahan mengikut Seksyen 43 Akta 559 kerana didapati minum arak dan bekerja sebagai GRO,” katanya di lokasi serbuan awal pagi semalam.

Beliau berkata, di lokasi pertama serbuan, pihaknya menahan enam wanita dan dua lelaki mengikut Seksyen 43 kerana meneguk arak dan bekerja sebagai GRO.

Katanya, pusat hiburan itu melanggar peraturan operasi kerana hanya memiliki lesen restoran namun beroperasi sebagai pusat hiburan sehingga lewat pagi.

“Di pusat hiburan pertama, kita memberi notis hadir sesi kaunseling kepada 44 individu beragama Islam.

“Malah, kita juga mengeluarkan surat kompaun kepada pemilik premis kerana menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen sah daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya.

Sementara itu, Khalid berkata, Kementerian Wilayah memandang serius pembabitan pelanggan beragama Islam yang didapati kerap berhibur di pusat hiburan serta melakukan kesalahan seperti minum arak, mengambil dadah dan menjalankan kegiatan persundalan.

Katanya, pihaknya bercadang mengadakan Ops BAH lebih kerap bagi membanteras kegiatan maksiat dalam kalangan pelanggan.

Disiarkan pada: July 29, 2018 @ 3:48am
d