mutakhir

'Pembangkang perlu lantang bersuara'

Oleh Faliq Lajim

SUARA pembangkang harus kuat bagi memastikan ada semak dan imbang dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehin Mukhyi berkata, ia berikutan PAS kini hanya pembangkang di Parlimen dan dalam kerajaan Selangor.

“Ini bererti suara pembangkang mesti kuat selepas mengambil kira apa yang sedang berlaku ketika ini di negara kita.

“Sekarang ini berlaku pelanggaran sistem undang-undang dalam negara, pelanggaran terhadap tatasusila undang-undang serta pembebasan terhadap kes salah laku di peringkat SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk kroni dan rakan-rakan sendiri. Jadi, apa beza mereka dengan kerajaan sebelum ini?" katanya.

Beliau berkata demikian ketika Ceramah Perdana pada Program Bangkit PAS Selangor di Markas PAS Kawasan Kota Raja, Bukit Naga, Seksyen 32, Shah Alam, malam tadi.

Ketika mengulas kenapa PAS tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis beliau berkata, tiada perbezaan jika bertanding atau tidak.

“Kita ditanya kenapa PAS tidak bertanding di Kota Raja (Sungai Kandis). Bertanding dan tidak bertanding, sama sahaja. Parti lain tetap maki. Kita diserang dan difitnah. Jadi apa bezanya bertanding atau tidak.

“Dalam pilihan raya baru-baru ini, kita dapat tempat ketiga di Sungai Kandis. Kita ukur diri kita, cermin diri kita, jadi kita ambil keputusan untuk tidak bertanding," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, dalam tempoh 100 hari pemerintahan PH banyak kepincangan membabitkan umat Islam serta bangsa Melayu.

“Pagi tadi penuh orang hadir ke Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, menentang kerajaan hari ini, Pakatan Harapan.

“Kerajaan Persekutuan didominasi dengan wakil rakyat bukan Islam. Bermakna kuasa politik mereka lagi besar, walaupun, orang Islam mungkin Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

“Kalau kita tentang PH sebelum ini pada PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14), PRK ini sepatutnya kita kena tentang juga. Setiausaha Agong juga sebut di Selangor ini kita kena wujudkan satu pakatan pembangkang yang kuat supaya ada semak dan imbang.

“Di Selangor, Pakatan Harapan majoriti dua pertiga dalam Dewan (DUN). Sudah terlalu besar. Bagi dia menang, lagi naik tocang," katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2018 @ 9:48am
d