mutakhir

'Saya minum dua botol ja... '

Oleh Nur Saliawati Salberi

“TOLONGLAH tuan, saya hanya minum (arak) sedikit saja tak sampai dua botol malah tidak mabuk pun,” kata remaja lelaki yang disyaki mabuk ketika ditahan dalam sekatan jalan raya Op Pencegahan Samseng Jalanan di Jalan Munshi Abdullah, di Melaka, pagi tadi.

Remaja lelaki berusia 19 tahun itu ditahan jam 3.15 pagi selepas polis mendapati dia menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Ketika ditahan untuk pemeriksaan, remaja lelaki itu memberi pelbagai alasan malah dia juga bertindak mengganggu beberapa anggota polis trafik yang bertugas supaya dibebaskan dan dibenarkan pulang kerana bimbang dimarahi ibu bapanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Melaka Tengah itu dijalankan lebih lima jam dan berakhir pada jam 4.30 pagi bagi mengekang gejala samseng jalanan yang menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya.

Beliau berkata, sepanjang operasi itu, kira-kira 200 kenderaan diperiksa dan 108 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal serta pemandu kenderaan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

“Antara kesalahan tertinggi yang direkodkan adalah menunggang atau memandu tanpa lesen sebanyak 31 saman diikuti Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (22), nombor pendaftaran fancy (11) serta ubah suai ekzos kenderaan (9).

“Tiga motosikal disita selepas penunggang gagal mengemukakan insurans perlindungan yang sah,” katanya.

Afzanizar berkata, selain pasukan polis, operasi itu turut disertai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

“Selain pemeriksaan kenderaan, turut dilakukan ujian alkohol ke atas penunggang dan pemandu yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2018 @ 3:44pm
d