mutakhir

Wanita kena tinju lepas minta RM500

Oleh Mohd Rizal Abdullah

WANITA warga Indonesia cedera di muka selepas ‘ditinju’ individu tidak dikenali dalam kejadian di Jalan North Yu Seng di Miri , malam Rabu lalu.

Dalam kejadian pada jam 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 32 tahun didakwa ditumbuk lelaki terbabit ketika berada di belakang lorong sebuah kedai makan di kawasan itu.

Menurut sumber, mangsa dikatakan sedang menunggu saudaranya di lorong itu sebelum didatangi lelaki terbabit.

Sumber itu berkata, lelaki terbabit kemudiannya tiba-tiba bertanya mengenai perkhidmatan seks kepada mangsa.

“Rimas dengan pertanyaan lelaki terbabit, mangsa kemudiannya memberitahu ada menawarkan perkhidmatan itu dengan bayaran RM500,” katanya.

Katanya, bagaimanapun, lelaki terbabit tiba-tiba tidak berpuas hati lalu menumbuk mangsa beberapa kali sebelum melarikan diri.

“Mangsa cedera di bahagian muka dan lebam akibat kejadian itu dan terpaksa mendapat rawatan di Hospital Miri,” katanya.

Katanya, mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri berhubung kejadian itu.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: July 29, 2018 @ 4:15pm
d