mutakhir

Tuah kembar tiga

Oleh Tuan Asri Tuan Hussein

BERKAT ibu bapa menyimpan duit raya dalam Tabung Haji (TH) tiga beradik kembar berusia 27 tahun bersyukur kerana menerima jemputan Allah untuk menunaikan ibadat haji pada usia muda.

Muhamad Zaini Fikri Mohd Yusop bersama dua adiknya, Muhamad Zarif Fikri dan Muhamad Zazali Fikri yang berasal dari Batu Pahat, Johor, turut diiringi abang mereka Faizul Fikri, 34, dan kakak ipar, Siti Naqsya Mohamad.

“Terima kasih kepada ibu bapa kami yang menyimpan duit kami dalam TH sejak kami kecil. Tak silap saya sejak umur kami 12 tahun, duit raya dan duit hadiah kecemerlangan kami dalam pelajaran, emak dan ayah akan simpan dalam akaun TH.

“Kerana usaha dan pandangan jauh merekalah kami empat beradik berada di sini pada hari ini," kata Muhamad Zaini ketika ditemui di Maktab 75 Hotel Abraj Al-Janadriyah, di Makkah.

Dia yang lebih mesra dengan panggilan Along berkata, sebenarnya mereka tiga beradik ditawarkan untuk menunaikan haji bersama ibu bapa tiga tahun lalu namun terpaksa menolak kerana ketika itu masih menuntut di universiti. “Kami mohon pada TH supaya dibenarkan membuat penangguhan selama tiga tahun dan ibu bapa kami juga setuju dengan keputusan kami. “Alhamdulillah, selepas tamat pengajian dan setahun bekerja, kini kami tiga beradik dapat menjadi tetamu Allah, sebagaimana yang dirancang," katanya yang baru berkahwin lapan bulan lalu.

Muhamad Zaini dan Muhamad Zazali sama-sama menuntut jurusan perubatan di Universiti Mansoura di Mesir dan kini kedua-duanya berkhidmat sebagai doktor, masing-masing di Hospital Klang dan Hospital Ampang.

Muhamad Zarif pula memilih haluan berbeza apabila menjadikan bidang pendidikan sebagai cabang kerjaya dan kini menyambung pengajian di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) Batu Pahat, Johor selepas bekerja buat sementara waktu sebaik selesai pengajian peringkat diploma.

Menurutnya, kerjaya ayah sebagai pensyarah di UTHM dan ibu seorang doktor di Hospital Ampang, Kuala Lumpur banyak mempengaruhi kerjaya mereka serta tiga beradik yang lain. “Abang sulung seorang doktor veterinar di Ipoh, abang nombor dua jurutera manakala kakak pula jururawat di Hospital Batu Pahat,” katanya yang bercita-cita menjadi pensyarah.

Biarpun bukan kembar seiras, tiga beradik ini sering menarik perhatian jemaah haji lain kerana penampilan fizikal mereka tidak banyak berbeza dan adakalanya mencetus kekeliruan bagi rakan sebilik untuk mengenali mereka, khususnya pada peringkat awal.

Bagi Muhamad Zazali pula, kehadiran mereka empat beradik ke Tanah Suci kali ini untuk menunaikan haji memberi pengalaman berbeza berbanding kedatangan dua kali untuk membuat umrah sebelum bersama ibu bapa pada 2008 dan 2010.

“Dulu kami belum kerja, semua perbelanjaan emak dan ayah yang tanggung. Kali ini, semuanya atas duit kami sendiri, jadi ia mengajar kami untuk lebih menghargai rezeki. Bukan senang nak dapat duit,” katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2018 @ 4:28pm
d