mutakhir

3 sekeluarga maut

Oleh Farah Suhaidah Othman

TIGA maut manakala dua cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas akibat tayar pecah sebelum dirempuh bas ekspres di Kilometer 307 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di Gopeng pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 9.30 pagi itu, tiga penumpang kereta Toyota Vios iaitu Yew Kim Nyuk, 53, suaminya, Cheah Yook Ching, 57, serta abang Yook Ching, Cheah Chui Yong, 60, maut di lokasi kejadian.

Pemandu berusia 24 tahun dan bapanya yang juga penumpang tempat duduk belakang, berusia 61 tahun cedera ringan.

Dua pemandu bas ekspres dan 16 penumpang dalam kenderaan itu yang berusia antara 13 hingga 69 tahun tidak cedera. Difahamkan bas berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati semua penumpang kereta berkenaan yang beralamat di ibu negara, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Ipoh.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, tayar belakang bahagian kiri Toyota Vios pecah sebelum terbabas merempuh pembahagi jalan di sebelah kiri.

“Kereta berkenaan dipercayai berpusing beberapa kali dan masuk ke lorong kanan iaitu lorong laju.

“Bas ekspres yang melalui arah sama tidak sempat mengelak sebelum merempuh kereta terbabit mengakibatkan tiga penumpang tercampak keluar dari kereta Toyota Vios itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ng berkata, tiga mangsa berkenaan mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di lokasi kejadian manakala dua lagi cedera.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kampar untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati Vios dinaiki semua mangsa mengalami rosak teruk di semua bahagian manakala bas ekspres sedikit remuk di bahagian hadapan pada sebelah kanan.

Katanya, lima daripada 16 penumpang bas ekspres dipindahkan ke bas lain sebelum ketibaan pegawai penyiasat polis.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2018 @ 5:06pm
d