mutakhir

Kesihatan Muhyiddin semakin baik

Oleh Tharanya Arumugam

KEADAAN Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin pulih selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di pankreas yang dikesan pada peringkat awal.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang tiba di Singapura hari ini, berkata kesihatan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semakin baik selepas menjalani pembedahan itu awal bulan ini.

“Saya melawat Tan Sri Muhyiddin Yassin di Singapura. Alhamdulillah, saya lihat beliau semakin kuat. Saya diberikan taklimat oleh beberapa orang yang menjaganya (mengenai keadaan Muhyiddin).

“Nampaknya beliau semakin pulih. Beliau juga berkirim salam kepada semua rakyat Malaysia dan mereka yang mendoakan supaya beliau segera pulih,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di dewan Sekolah Rendah Islam Al-Ainani di Taman Sri Andalas, Klang, hari ini.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Terdahulu, Dr Wan Azizah menghadiri program pemeriksaan kesihatan percuma anjuran Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru dan Biro Kesihatan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) untuk penduduk setempat.

Kehadiran beliau bagi memberikan sokongan kepada calon PKR dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Disiarkan pada: July 29, 2018 @ 5:56pm
d