mutakhir

[UPDATE] NADMA sedia ke Lombok [METROTV]

Oleh Tharanya Arumugam

MALAYSIA bersedia menghantar bantuan kepada Indonesia bagi membantu mangsa gempa bumi di Lombok, Indonesia, awal pagi hari ini, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, anggota Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan dihantar untuk membantu Indonesia dalam misi mencari menyelamat selain kerja pemulihan.

“NADMA juga menawarkan untuk membantu mangsa gempa bumi ini. Kami sedang menunggu permohonan daripada Indonesia untuk membantu,” katanya pada sidang media selepas program minum petang dengan ahli PKR dan penduduk di Sungai Kandis, Shah Alam.

Dr Wan Azizah berkata, pihaknya masih belum menetapkan jumlah anggota yang akan terbabit dalam misi itu berikutan belum menerima permohonan bantuan, setakat ini.

“Kita akan menghulurkan bantuan. Tetapi selalunya, kita tunggu sehingga mereka (Indonesia) memohon bantuan,” katanya.

Katanya, sebelum ini NADMA mengerahkan 22 anggota ke Laos, selepas sebuah empangan hidroelektrik yang sedang dalam pembinaan di negara itu runtuh.

“Mereka berada di sana untuk membantu mangsa dan kita juga menghantar bantuan bekalan makanan,” katanya.

Dr Wan Azizah turut menyatakan ucapan takziah kepada mangsa gempa bumi di Indonesia itu serta keluarga mereka.

Gempa bumi sekuat 6.4 skala Richter pagi hari ini meragut nyawa 14 orang dan menyebabkan banyak bangunan rosak.

Dr Wan Azizah berkata, seorang daripada mangsa adalah warganegara Malaysia.

“Seorang daripada mereka adalah rakyat Malaysia dari Desa Pandan. Namanya, Siti Nur Ismawida Ismail. Jenazahnya akan dibawa pulang. Takziah kepada keluarganya, semoga mereka mempunyai kekuatan (dalam menghadapi dugaan ini),” katanya.

Ditanya mengenai usaha Wisma Putra membantu membawa pulang mangsa dari Lombok, Dr Wan Azizah berkata, beliau belum menghubungi Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, tetapi akan membuat perancangan yang sepatutnya.

Berita berkaitan

[UPDATE) Kehilangan besar buat warga TVET

'Suara itu senyap tiba-tiba... '

Tak sangka kakak terperangkap

[UPDATE] Seorang pendaki Malaysia terkorban [METROTV]

'Mujur dah turun Rinjani'

Lombok bergegar !

Disiarkan pada: July 29, 2018 @ 6:33pm
d