mutakhir

Tabik terakhir buat Lingesh

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“ANAK saya memang meminati kerjaya anggota bomba sejak di bangku sekolah kerana suka menolong orang ramai,” kata R Mahendran bapa Pegawai Bomba Bantuan (PBB) mendiang M Lingesh Waren, 19.

Lingesh yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), semalam akibat parah selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Suka Menanti, Alor Setar, kelmarin.

Mahendran, 55, berkata ketika kejadian dia berada di tempat kerja sebelum menerima panggilan daripada rakannya memaklumkan anaknya terbabit dalam kemalangan.

Katanya, sebaik tiba di HSB, dia dimaklumkan anak sulungnya dalam keadaan kritikal dan keluarganya hanya berserah kepada Tuhan.

“Namun, saya reda apabila anak saya gagal diselamatkan doktor selepas disahkan meninggal dunia pada jam 6 petang semalam.

“Dia adalah satu-satunya harapan kami untuk membantu menyara keluarga, tetapi kini dia pergi dahulu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Taman, Alor Setar, hari ini.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, motosikal ditunggang Lingesh dirempuh kenderaan menyebabkan mangsa terjatuh dan tidak sedarkan diri.

Difahamkan, dia dalam perjalanan pulang ke pejabat selepas keluar membeli makanan ketika waktu rehat tengah hari.

Terdahulu, Pengarah JBPM Kedah Abdul Razak Muda bersama 100 pegawai dan anggota bomba hadir ke rumah mangsa bagi memberi penghormatan terakhir untuknya.

Abdul Razak berkata, pihaknya akan membantu keluarga mangsa termasuk bayaran insurans kelompok untuk mendiang.

“Mendiang seorang yang baik, berdedikasi dan rajin ketika menjalankan tugas. Kami kehilangan seorang anggota PBB yang bersemangat,” katanya.

Keranda mendiang diiringi kenderaan bomba ketika dihantar ke tempat pembakaran mayat di Bukit Pinang, hari ini.

Disiarkan pada: July 29, 2018 @ 6:51pm
d