mutakhir

Sembunyi dalam bilik rahsia konon...

Oleh Zaid Salim

ENAM wanita pelayan pelanggan (GRO) warga Filipina dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu ketika bersembunyi dalam sebuah bilik rahsia dalam serbuan Ops Mega 3.0 di sebuah premis karaoke di Paka, Dungun.

Bilik rahsia yang dilengkapi dengan penyaman udara dan kamera litar tertutup (CCTV) itu dibina di bahagian belakang kaunter pembayaran yang turut dilindungi dengan longgokan sampah dan kotak bagi mengaburi pihak berkuasa.

Berdasarkan aduan, premis berkenaan menggunakan khidmat beberapa wanita Filipina bagi melayani pelanggan yang datang berhibur di situ.

Empat GRO terbabit adalah antara 16 wanita pelayan pelanggan Filipina dan Thailand berusia antara 19 hingga 34 tahun yang ditahan dalam serbuan di tiga premis karaoke di Dungun dan Kemaman.

Pengarah JIM Terengganu Rahim Hanafi berkata, serbuan di tiga lokasi terbabit dilakukan 16 anggota diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasa JIM negeri, Mohd Muda antara jam 12.30 tengah malam hingga 4 pagi, hari ini.

Katanya, ketika serbuan di premis karaoke berkenaan, pihaknya mendapati hanya ada dua wanita Filipina sedangkan maklumat yang diperoleh menerusi risikan dan aduan orang awam, premis berkenaan menggunakan ramai wanita negara berkenaan bekerja sebagai GRO.

“Curiga dengan pemilik premis terbabit, pemeriksaan terperinci dilakukan sebelum membongkar penemuan bilik berkenaan dan menahan empat lagi wanita Filipina dalam bilik itu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menahan tiga majikan tempatan kerana melakukan kesalahan menggaji pekerja asing tanpa permit dan seorang lelaki Thailand kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Katanya, siasatan mendapati semua wanita terbabit memasuki negeri ini menerusi laluan sah sebagai pelancong dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS).

“Kita percaya, mereka menjadikan PLS sebagai tiket mudah untuk masuk dan bekerja di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, semua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil untuk siasatan lanjut.

Katanya, enam wanita Filipina terbabit disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala 10 wanita Thailand dan seorang lelaki dari negara sama disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.

Disiarkan pada: July 29, 2018 @ 8:03pm
d