mutakhir

Keputusan tarik balik saman fitnah terhadap Tony Pua, hari ini

Oleh Murni Wan Omar

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, hari ini akan memutuskan sama ada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak boleh menarik balik saman fitnah dikemukakan terhadap Ahli Parlimen Damansara Tony Pua Kiam Wee atau sebaliknya.

Kes saman itu berhubung kenyataan Tony mengenai Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355).

Hujah peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Tan Ch’eng Leong bagi pihak Tony selesai didengar di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab, Khamis lalu.

Mahkamah menetapkan hari ini untuk keputusan dan jika ditolak, kes itu akan diteruskan dengan perbicaraan.

Tony sebelum ini membantah permohonan Najib untuk menarik balik saman itu atas alasan ia akan menyebabkan prejudis kepadanya kerana tidak boleh memberikan penjelasan mengenai kenyataan beliau di lobi Dewan Rakyat mengenai RUU pada April 2017.

Sementara itu, di Mahkamah Tinggi Georgetown, Pulau Pinang, kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri yang kini Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon akan disebut semula.

Di dalam prosiding hari ini, mahkamah akan dimaklumkan berhubung keputusan representasi yang dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara oleh kedua-dua tertuduh.

Sebelum ini, peguam kedua-dua tertuduh memohon perbicaraan kes itu ditangguhkan bagi membolehkan representasi dikemukakan di hadapan Peguam Negara yang baharu.

Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn, Georgetown di bawah nilai pasaran.

Bagi dua pertuduhan itu, Guan Eng didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan. Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu.

Di Mahkamah Majistret Ampang pula, kes Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos yang didakwa atas pertuduhan melarikan diri daripada jagaan polis akan disebut semula.

Jamal yang tidak mengaku bersalah atas kesalahan itu tidak dibenarkan sebarang jaminan dan kini berada dalam tahanan di Penjara Sungai Buloh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hospital KPJ Ampang Puteri, Ampang antara jam 2 hingga 3 petang, 25 Mei lalu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Jamal sebelum ini menghilangkan diri selama 39 hari sebelum ditahan di Jakarta, Indonesia pada 2 Julai lalu.

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 7:00am
d