mutakhir

Semoga pendaki Malaysia selamat pulang

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SERAMAI 13 ahli kumpulan pendaki Langkawi Island Hikers, Majlis Bandaraya Alor Setar dan Grup Kapar yang terkesan dengan tragedi gempa bumi di Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia dijangka pulang ke Malaysia tengah hari ini.

Ketua Pendaki, Khairul Azim, 32, berkata, kumpulannya kini dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk pulang ke Malaysia pada 12.30 tengah hari.

“Kami dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 3.30 petang ini.

“Walaupun laluan terputus terutama di Sembalun, Lombok Timur tetapi dengan bantuan penduduk tempatan kami menggunakan lalu alternatif untuk ke lapangan terbang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Khairul berkata, kumpulannya tidak dihubungi oleh mana-mana pihak termasuk kedutaan Malaysia dan mengambil keputusan untuk pulang.

“Memang berlaku banyak gegaran susulan, namun selepas berada jauh di kawasan Sembalun keadaan semakin pulih,” katanya.

Semalam, seorang pendaki rakyat Malaysia maut manakala enam yang lain cedera akibat gempa bumi di Gunung Rinjani, Lombok.

Gempa dengan kekuatan 6.4 magnitud itu turut menyebabkan kerosakan di kawasan sekitar dan banyak laluan terputus.

Menurut kenyataan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) gempa terbabit terjadi pada 5.47 pagi dan berpusat 28 km Barat Laut Lombok Timur dengan kedalaman gempa sekitar 10 km.

Tiada amaran Tsunami dikeluarkan.

Menurut laporan BMKG, berlaku 31 gegaran susulan selepas gempa pertama itu sehingga jam 7.39 pagi semalam.

Gegaran susulan gempa itu di bawah 5 Skala Richter.

Gunung berapi Rinjani di Pulau Lombok yang popular dalam kalangan pelancong dan pendaki juga ditutup kerana dilaporkan berlaku kejadian tanah runtuh.

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 10:51am
d