mutakhir

Isyarat makin jelas

Oleh Rafidah Mat Ruzki dan Faliq Lajim

Shah Alam: Penyokong PAS di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menerima isyarat jelas, malam kelmarin, memberikan undi mereka kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam.

Ahli Majlis Syura Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, menjadi kewajipan kepada penyokong PAS menolak kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat tidak menegakkan serta menjaga agama Islam dan secara automatik pilihannya adalah mengundi Lokman.

Katanya, sepanjang dua bulan kerajaan PH mentadbir negara, ia gagal menunjukkan komitmennya untuk menjaga dan mempertahankan Islam.

Beliau berkata, alim ulama sepakat berpendapat, kewajipan pertama seorang pemerintah ialah menegakkan agama Allah SWT.

“Di kala mana kerajaan PH dalam tempoh dua bulan pertama memerintah gagal menunjukkan komitmennya menjaga Islam, mempertahankan Islam maka menjadi kewajipan kita menolak PH. Setuju atau tidak?

“Bila mana menolak PH itu menjadi wajib maka yang timbul bagaimana? Bila kita setuju menolak PH adalah wajib kerana menegakkan agama Allah SWT kerana gagal menguruskan ekonomi yang dikehendaki dengan cara Allah SWT, maka yang tinggal pada kita bagaimana?

“Di hadapan kita ada satu ruang untuk menyatakan penolakan kita terhadap PH iaitu PRK Sungai Kandis. Maka menjadi kewajipan kita menggambarkan penolakan kita kepada PH dengan menolak calon PH (PKR) dan secara automatik kita memilih calon daripada UMNO, Datuk Lokman,” katanya padaProgram Bangkit PAS Selangor di Markas PAS Kawasan Kota Raja Bukit Naga, malam semalam.

Turut hadir, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi, Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir dan kepemimpinan PAS Selangor.

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 10:56am
d