mutakhir

Luar lain, dalam lain

Oleh Hasbi Sidek

Subang Jaya: Di bahagian depan sebuah premis di Jalan PJS 11/2, Bandar Sunway, dekat sini, tertera papan tanda pusat snuker namun lain pula cerita di dalamnya apabila polis menemui dua bilik rahsia khas untuk aktiviti perjudian.

Taktik itu dikesan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya ketika menjalankan serbuan Op Dadu Khas di sekitar Subang Jaya, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Azlin Sadari berkata, dalam operasi bermula jam 11 malam itu, pihaknya memeriksa 39 premis membabitkan pusat siber, pusat snuker, restoran, rumah kedai dan kawasan perindustrian yang dikenal pasti pernah menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.

“Operasi selama enam jam berjalan serentak di 39 premis itu bertujuan membanteras aktiviti judi haram di kawasan pentadbiran IPD Subang Jaya.

“Ketika serbuan di sebuah premis pusat snuker di Jalan PJS 11/2, kami mendapati ia mempunyai dua bilik rahsia yang disyaki digunakan sebagai tempat menjalankan aktiviti perjudian.

“Tiga warga asing yang mengaku sebagai penjaga premis ditahan selain 10 komputer riba dirampas,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, satu lagi serbuan di tingkat dua bangunan lot kedai tiga tingkat di Subang Hi-Tech, Pinggiran USJ, di sini, turut mendapati premis berkenaan disyaki menjalankan aktiviti perjudian.

“Pemerhatian mendapati premis itu tiada sebarang pergerakan orang keluar masuk namun aktiviti judi disyaki berlaku di tingkat dua premis.

“Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan bila kegiatan terakhir dijalankan berikutan pintu dikunci dari luar dan satu notis waran ditampal di luar pintu premis.

“Pihak kami akan terus melakukan pemantauan bagi mengekang aktiviti perjudian di kawasan Subang Jaya,” katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 11:08am
d