mutakhir

Penyu mati terbelit

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani

Kuantan: Seekor penyu daripada spesies penyu lipas ditemui mati akibat terbelit pukat rawai di Pantai Chendor, dekat sini, semalam.

Penyu dewasa dengan anggaran berat antara 30 hingga 40 kilogram (kg) itu ditemui jam 8 pagi oleh sekumpulan nelayan yang memukat ikan di pantai berkenaan.

Pengusaha Rimbun Dahan Turtle Hatchery, Ariffin Hassan berkata, dia dimaklumkan nelayan berkenaan mengenai penemuan bangkai penyu itu dan mengambil keputusan menanamnya di kawasan berhampiran.

“Saya tidak menolak kemungkinan penyu itu mati akibat terbelit rawai (gerek) di leher dan kaki kanan bahagian depan.

“Pukat rawai biasanya digunakan untuk menangkap ikan pari.

“Melihat pada bangkainya yang sudah berbau, ia dipercayai mati tiga atau empat hari sebelum ditemui,” katanya di sini, semalam.

Ariffin berkata, penyu lipas adalah spesies yang hampir pupus dan sejak tiga tahun kebelakangan ini tiada seekor pun yang mendarat di persekitaran pantai berkenaan.

“Kita tidak mahu ia pupus kerana kecuaian yang datang daripada kita sendiri tanpa disedari,” katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2018 @ 11:17am
d